
BINTANGOR: Percubaan menyembunyikan dadah dengan menyelitkannya di bawah kerusi kayu gagal apabila seorang lelaki tempatan berumur 27 tahun ditahan dalam serbuan Ops Tapis di sebuah rumah tidak bernombor di Jalan Bunga Raya, semalam.
Ketua Polis Daerah (KPD) Meradong, DSP Tansli Mering, berkata operasi dijalankan pada lebih kurang 1.30 tengah hari oleh sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak.
“Dalam serbuan tersebut, polis telah menemui tujuh paket plastik lutsinar berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis methamphetamine (syabu) yang diselitkan di bawah kerusi kayu di ruang tamu tempat suspek berbaring.
“Suspek kemudian dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Sarikei untuk siasatan lanjut dan keputusan saringan air kencing mendapati suspek adalah negatif dadah,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Katanya, anggaran berat bahan disyaki dadah yang dirampas oleh pihak polis adalah 6.60 gram dengan nilai pasaran sekitar RM660.
“Rumah ini pernah diserbu sebelum ini dan tangkapan serta rampasan turut pernah dibuat di lokasi yang sama.
“Kegiatan suspek dikesan bermula sejak awal Disember ini dan tindakan berterusan akan diambil bagi mengesan individu lain yang terlibat,” katanya.
Tambahnya, semakan rekod mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah atau dadah.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum lima tahun serta sebatan tidak kurang tiga kali dan tidak melebihi sembilan kali, jika sabit kesalahan,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa pihak polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam kegiatan dadah di daerah ini.
“Pihak kami (polis) berharap agar orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti dadah di Meradong dengan menghubungi Balai Polis Bintangor di talian 084-693222 bagi membantu membendung gejala ini,” katanya lagi.
Oleh Earl Anek