
BAU: Polis menahan seorang lelaki berusia 19 tahun bagi membantu siasatan kes rogol melibatkan seorang remaja perempuan berusia 15 tahun di daerah ini.
Ketua Polis Daerah Bau, Superintendan Mohd Haide A Rahman, berkata laporan polis dibuat semalam pada sekitar 9.13 malam oleh ibu mangsa selepas remaja berkenaan pulang ke rumah setelah keluar selama empat hari.
Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku antara 14 hingga 17 Februari di sebuah rumah di sebuah kampung di daerah ini.
“Siasatan awal mendapati mangsa telah keluar dari rumahnya tanpa pengetahuan keluarga pada awal pagi 14 Februari dan tidak dapat dihubungi. Mangsa pulang ke rumah pada 17 Februari pada sekitar 5.30 petang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata mangsa berkenalan dengan suspek melalui aplikasi media sosial pada November 2025 dan sebelum kejadian, mereka tidak pernah keluar bersama, sebaliknya hanya berhubung melalui panggilan telefon.
Menurutnya, pada 14 Februari sekitar 3.00 petang, mangsa menghubungi suspek untuk menjemputnya sebelum tinggal di rumah lelaki itu selama empat hari.
Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Umum Sarawak (SGH) untuk pemeriksaan lanjut dan disahkan menjadi mangsa rogol.
“Suspek telah ditahan dan akan direman mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.
Kes kini dalam siasatan polis.
Oleh Connie Chieng