KUCHING: Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun maut selepas terlibat dalam satu kemalangan dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Jalan Tan Sri Datuk Amar Wee Boon Ping sekitar jam 12 tengah malam tadi.
Mangsa disahkan meninggal dunia di Hospital Umum Sarawak ketika menerima rawatan.
Menurut kenyataan Ibu pejabat Polis Daerah Padawan, mangsa menunggang motosikal dari Batu Kawa dipercayai membuat pusingan U di persimpangan lampu isyarat dan bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda tersebut.
Akibat dari pertembungan itu, mangsa Ronaldy Robster Michael Belet, mengalami kecederaan dan dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak.
Pemandu kenderaan pacuan empat roda tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kenderaan yang terlibat telah dibawa ke Balai Trafik IPD Padawan untuk pemeriksaan Puspakom dan Jabatan Kimia.
Kes masih lagi dalam siasatan dan disiasat dibawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Oleh SHAHRUL QAIZAT