
TOKYO: Ratusan orang hadir untuk mengucapkan selamat tinggal kepada dua panda kesayangan Jepun yang pulang ke China pada Selasa, meninggalkan negara itu tanpa panda buat pertama kali dalam lima dekad di tengah hubungan tegang dengan jiran Asia.
Panda berkembar, Lei Lei dan Xiao Xiao, keluar dariTaman Zoologi Ueno menggunakan trak meninggalkan rasa sedih dalam kalangan peminat Jepun.
“Saya datang melihat mereka sejak lahir,” kata Nene Hashino, seorang wanita berusia 40-an yang memakai jaket bertema panda sambil memegang mainan beruang, kepada AFP.
“Rasanya seperti anak saya dihantar jauh. Sangat menyedihkan.”

Pengumuman pemulangan mendadak panda dibuat bulan lalu sewaktu ketegangan diplomatik tercetus, selepas Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi, memberi amaran Tokyo mungkin campur tangan secara ketenteraan terhadap sebarang serangan ke atas Taiwan.
Komen beliau mencetuskan kemarahan Beijing, yang menganggap pulau itu sebagai wilayahnya sendiri.
Sebagai sebahagian daripada program “diplomasi panda” China, panda hitam-putih yang unik ini telah menjadi lambang persahabatan antara Beijing dan Tokyo sejak hubungan diplomatik dinormalisasi pada 1972.

Pemulangan mereka dilakukan sebulan sebelum tempoh pinjaman berakhir pada Februari, menurut Kerajaan Metropolitan Tokyo, yang menguruskan Zoo Ueno.
“Menurut perjanjian yang berkuat kuasa antara China dan Jepun, panda gergasi yang tinggal di Jepun, Xiao Xiao dan Lei Lei, hari ini memulakan perjalanan pulang ke China,” kata Guo Jiakun, jurucakap Kementerian Luar China.
“Seperti biasa, kami mengalu-alukan orang ramai untuk datang melihat panda gergasi dari China.”
Dilaporkan Jepun sedang berusaha mendapatkan pinjaman pasangan panda baharu.
Namun, tinjauan hujung minggu oleh akhbar liberal Asahi Shimbun menunjukkan 70 peratus responden berpendapat kerajaan tidak perlu merundingkan pinjaman panda baharu dengan China, manakala 26 peratus menyokongnya.
Pada Ahad, Zoo Ueno menjemput kira-kira 4,400 pemenang bertuah cabutan bertuah dalam talian untuk melihat panda itu buat kali terakhir. – AFP