
MUKAH: Timbalan Menteri Ekonomi merangkap Ahli Parlimen Mukah, Dato Hanifah Hajar Taib, mengadakan sesi libat urus bersama pengurusan Politeknik Mukah semalam bagi membincangkan beberapa cadangan penting berkaitan pembangunan institusi tersebut.
Antara perkara utama yang dibincangkan ialah cadangan penamaan semula Dewan Serbaguna Politeknik Mukah kepada Dewan Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud sebagai penghargaan kepada sumbangan besar Allahyarham dalam memajukan Mukah sebagai hab pendidikan di wilayah tengah Sarawak.
Allahyarham Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud yang juga ayahanda kepada Dato Hanifah, memainkan peranan penting dalam memperkukuh infrastruktur pendidikan tinggi di Mukah, termasuk penubuhan Politeknik Mukah yang kini menjadi antara institusi teknikal utama di Sarawak.
Dalam sesi berkenaan, Dato Hanifah turut dibawa meninjau Dewan Serbaguna bagi menilai keadaan semasa serta mengenal pasti keperluan penambahbaikan bagi meningkatkan keselesaan pelajar dan tetamu yang menggunakan fasiliti berkenaan.

Menurut Pengarah Politeknik Mukah, Suhaili Aleh, pihaknya akan terus melaksanakan pelbagai perancangan strategik bagi memastikan institusi tersebut mampu menyediakan perkhidmatan pendidikan yang berkualiti dan selesa kepada pelajar serta komuniti setempat.
“Antara cadangan yang sedang dipertimbangkan ialah pemasangan skrin LED kekal di dewan bagi kegunaan majlis rasmi kerajaan seperti majlis konvokesyen,” katanya melalui sebuah kenyataan media, semalam.
Beliau turut menjelaskan bahawa inisiatif penjenamaan semula dewan berkenaan kepada Dewan Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud merupakan langkah simbolik bagi mengenang jasa dan legasi tokoh tersebut dalam penubuhan Politeknik Mukah.
Politeknik Mukah berharap agar cadangan itu dapat direalisasikan pada masa hadapan sebagai tanda penghargaan kepada pemimpin yang berjasa besar terhadap pembangunan pendidikan di kawasan itu.
Oleh Adele Rissa