Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KOLUM
  • Legasi Pak Lah: Sederhana yang membina negara
  • KOLUM

Legasi Pak Lah: Sederhana yang membina negara

Utusan Sarawak 1 month ago
 GAMBAR kenangan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika menandatangani surat pelantikannya sebagai Perdana Menteri Malaysia kelima di hadapan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail pada Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Taat Setia serta Sumpah Menyimpan Rahsia di Balairong Seri, Istana Negara pada 31 Oktober 2003. Tun Abdullah yang merupakan Perdana Menteri kelima meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada 7.10 malam tadi.
FotoBERNAMA

“Jangan bekerja untuk saya, tetapi marilah kita bekerja bersama-sama.”

– Tun Abdullah Ahmad Badawi, 2003

TATKALA negara berkabung atas pemergian Tun Abdullah Ahmad Badawi atau lebih dikenali sebagai Pak Lah, kita tidak hanya mengenang seorang Perdana Menteri, tetapi juga seorang negarawan yang memperkenalkan wajah baru dalam kepimpinan Malaysia — sederhana, berprinsip, dan berjiwa rakyat.

Di sebalik kelembutan tutur katanya, terselit keberanian moral dan keteguhan prinsip yang telah membentuk legasi tersendiri dalam sejarah tanah air.

Islam Hadhari teras pembangunan

Di tengah suasana dunia Islam pasca-9/11 yang sering dikaitkan dengan ekstremisme, Pak Lah memperkenalkan Islam Hadhari, satu pendekatan progresif yang meletakkan Islam sebagai tonggak pembangunan negara.

Islam Hadhari bukanlah ideologi baharu, tetapi penekanan kepada 10 prinsip Islam universal, termasuk kepercayaan kepada Tuhan, pemerintahan adil, penguasaan ilmu, integriti, dan pembangunan insan.

Dengan pendekatan ini, beliau berjaya mengangkat imej Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang sederhana tetapi moden, tanpa mengabaikan akar spiritual dan kebudayaan.

Melaluinya juga, Pak Lah memperkenalkan dasar seperti program pengajaran Jawi, al-Quran dan Fardu Ain (J-QAF), yang memberi impak besar kepada pendidikan Islam di peringkat rendah.

J-QAF: Mendidik anak bangsa dengan ilmu dan akhlak

Salah satu inisiatif transformasi pendidikan yang paling berkesan di era Pak Lah ialah pengenalan program J-QAF pada 2005.

Ia membawa pembaharuan dalam pengajaran Jawi, al-Quran, bahasa Arab dan Fardu Ain kepada murid sekolah rendah kebangsaan, terutama dalam kalangan pelajar Melayu Islam.

Di sebalik dasar ini tersembunyi wawasan besar — untuk melahirkan generasi Muslim celik ilmu dan akhlak, serta membuka peluang kerjaya kepada ribuan graduan pengajian Islam dan membuka perspektif baharu pendidikan Islam di negara ini.

Lebih daripada itu, program ini menstrukturkan latihan guru, pemantauan akademik, dan kaedah pengajaran moden seperti Iqra’, talaqqi dan penggunaan ICT, menjadikannya satu titik tolak kepada pembaharuan pendidikan Islam dalam sistem kebangsaan.

Anti-rasuah dan budaya integriti

Slogan “Work with me, not for me” bukan sekadar kata-kata.

Ia menjadi manifestasi tekad Pak Lah untukmewujudkan budaya kerja yang berintegriti, telus dan beretika dalam pentadbiran awam.

Beliau menubuhkan Institut Integriti Malaysia (IIM) pada 2004, serta memperkenalkan mekanisme pemantauandan tender terbuka dalam pelaksanaan projek kerajaan.

Dalam sidang-sidang Parlimen, Pak Lah lantang menyebut bahawa rasuah adalah musuh nombor satu dalam pentadbirannya.

Penubuhan ini adalah untuk melaksanakan Pelan Kewibawaan Nasional ke arah menggalakkan urus tadbir yang berkesan, akauntabiliti serta kecekapan sektor awam dan swasta.

Beliau juga memainkan peranan penting dalam memperbaiki imej badan kehakiman, terutamanya selepas skandal pita video VK Lingam yang mencalarkan institusi kehakiman.

Penubuhan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) pada 2009 merupakan hasil langsung daripada keberanian politiknya untuk membenarkan siasatan awam dan memulihkan kepercayaan rakyat terhadap badan kehakiman.

GAMBAR kenangan Perdana Menteri kelima Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (kiri) ketika beramah mesra dengan Ketua Hakim Negara Tan Sri Zaki Tun Azmi (kanan), Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff (dua kanan) dan Hakim Besar Malaya Datuk Arifin Zakaria selepas Majlis Menghadap dan Mengangkat Sumpah Jawatan Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan dan Hakim Besar Malaya di Istana Negara pada 29 Oktober 2008. Tun Abdullah meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada 7.10 malam tadi. FotoBERNAMA

Membina semula wibawa, bukan sekadar membetul imej

Pak Lah mewarisi sistem kehakiman yang tercalar kepercayaannya sejak krisis 1988 — luka lama yang menghantui naratif keadilan negara.

Namun beliau tidak memilih jalan retorik. Sebaliknya, beliau memulakan proses pemulihan dari dalam, perlahan tetapi tegas.

Melalui penubuhan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman(Judicial Appointments Commission – JAC), Pak Lah meletakkan asas kepada ketelusan dalam pelantikan hakim-hakim atasan, memisahkan kuasa eksekutif daripada ruang integriti kehakiman.

Ia bukan sekadar birokrasi baharu, tetapi tindakan moral yang berani, dalam suasana politik yang sering menjadikan keadilan sebagai alat.

Dalam era yang belum menyaksikan gelombang reformasi besar-besaran, Pak Lah lebih awal menormalisasikan keberanian institusi, menghantar isyarat jelas bahawa keadilan bukan milik penguasa, tetapi hak rakyat.

Langkah-langkah ini mungkin tidak mencetuskan ledakan tajuk utama ketika itu, tetapi dalam lipatan sejarah, ia adalah detik yang memulakan pembetulan arah keadilan Malaysia.

GAMBAR kenangan Perdana Menteri Malaysia kelima Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (kanan) menunjukkan fail meja selepas menerimanya daripada Tun Dr Mahathir Mohamad pada majlis serah tugas di Pejabat Perdana Menteri pada 31 Oktober 2003. Tun Abdullah yang merupakan Perdana Menteri kelima meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada 7.10 malam tadi. FotoBERNAMA

Ruang demokrasi dan reformasi digital

Era Pak Lah turut menyaksikan pembukaan ruang awam yang lebih luas kepada media alternatif, blog politik dan wacana awam.

Ketika populariti media sosial masih bertatih, pentadbiran beliau tidak menyekat kritikan secara agresif, malah membenarkan kelahiran gelombang baharu wartawan rakyat, penulis bebas dan penganalisis politik.

Inilah yang kemudian dikenali sebagai era reformasi digital, yang menyediakan landasan awal kepada keterbukaan politik dan kemunculan parti-parti pembangkang yang lebih tersusun menjelang Pilihan Raya Umum ke-12.

Pembangunan ekonomi seimbang dan inklusif

Dari sudut ekonomi, Pak Lah memberi tumpuan kepada pembangunan luar bandar, pertanian moden, perusahaan kecil dan sederhana (PKS), serta koridor pembangunan yang menjangkau seluruh negara.

Di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), beliau memperkenalkan lima koridor ekonomi: NCER, ECER, SCORE, Iskandar Malaysia dan SDC, dengan matlamat menjadikan pembangunan lebih seimbang antara wilayah dan untuk memecahkan ketidaksamarataan wilayah yang lama membelenggu negara, juga mengubah mimpi luar bandar ke realiti global.

Yang membezakan beliau ialah pendekatan pembangunan yang berasaskan modal insan, bertepatan dengan gelarannya sebagai Bapa Pembangunan Modal Insan.

Beliau percaya bahawa ilmu dan akhlak adalah asas kepada kemajuan negara, bukan hanya pencapaian ekonomi.

Kebajikan penjawat awam dan pekerja

Pak Lah juga meninggalkan kesan besar terhadap penjawat awam, yang menjadi tulang belakang pentadbiran negara.

Pada 2007, beliau mengumumkan kenaikan gaji antara tujuh hingga 35 peratus, serta peningkatan Elaun Sara Hidup (COLA), sebagai langkah menangani tekanan kos hidup.

Ketika zaman sebelum itu, iaitu era Tun Mahathir Mohamad, aspek ini tidak mendapat perhatian malah berlaku pula pengekangan terhadap kesatuan sekerja.

Lebih penting lagi, beliau menghapuskan sistem kerja Sabtu bagi penjawat awam dan memperkenalkan minggu kerja lima hari bermula 1 Januari 2005, sekali gus meningkatkan kesejahteraan keluarga dan keseimbangan hidup rakyat.

Jasa ini wajar diingati oleh para penjawat awam  sehingga bila-bila dan membentuk keseimbangan budaya kerja yang sihat.

Memartabatkan batik sebagai simbol nasional

Pak Lah turut dikenang kerana memperkenalkan Khamis  sebagai hari berbatik, iaitu inisiatif yang menggalakkan pemakaian batik tempatan sebagai pakaian rasmi.

Langkah ini bukan sahaja mengangkat industri batik tempatan dan keusahawaman negara, tetapi juga memperkukuh identiti budaya kebangsaan, menjadikan batik sebagai simbol perpaduan dan kebanggaan rakyat Malaysia.

Sebelum ini, hanya Indonesia dilihat memajukan industri batik Indonesia, manakala Malaysia dianggap mengabaikan baju dan industri batik tempatan.

Peralihan kuasa yang aman, terhormat

Satu lagi warisan penting Pak Lah ialah peralihan kuasa secara aman dan berhemah.

Setelah menghadapi tsunami politik dalam PRU 2008 yang menyaksikan BN kehilangan majoriti dua pertiga dan lima negeri jatuh ke tangan pembangkang, beliau tidak berpegang kepada kuasa, sebaliknya menyerahkan tampuk pemerintahan kepada pengganti dengan penuh tertib dan tanpa konflik dalaman.

Perkara ini mencerminkan jiwa besar seorang negarawan yang dikenali sebagai Mr Clean, Mr Nice Guy, sesuatu yang jarang dalam lanskap politik Malaysia hari ini.

Cuma pada akhir pemerintahan apabila isu budak tingkat 4 berleluasa, kebebasan media yang diperkenalkan dan peranan kritikan Dr Mahathir membawa kepada persepsi dan meruntuhkan kerajaan pimpinan Pak Lah.

Pemimpin yang kita perlu kenang

Apa pun Pak Lah bukan pemimpin yang lantang di pentas pidato atau agresif dalam strategi politik.

Tetapi dalam kelembutan dan kesederhanaannya, beliau membawa perubahan yang struktural, berakar pada nilai, reformasi institusi, kesejahteraan sosial dan berkesan dalam jangka panjang.

Beliau menanam benih yang terus subur — sama ada dalam bentuk program pendidikan Islam, integriti pentadbiran, pemerkasaan budaya, mahupun pembangunan ekonomi yang lebih menyeluruh.

Legasi Pak Lah wajar dirakam dengan jujur dan berimbang — sebagai pemimpin yang membina dengan senyap, tetapi meninggalkan gema yang kuat dalam sejarahnegara. Al FATIHAH

  • Datuk Profesor Dr Awang Azman Awang Pawi adalah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL).
Tags: Dr Awang Azman

Continue Reading

Previous: RIDA dan Sarawak
Next: Pak Lah, wartawan di sebalik tabir

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.