Legasi keluarga harumkan nama Lada Dayu sejak sedekad lalu

Facebook
WhatsApp
EYFISSIA (kanan) bergambar bersama produk Lada Dayu.

SARIKEI: Bermula daripada idea seorang bapa, perniagaan keluarga Dayu Bumi Emas kini terus mengharumkan nama kawasan Dayu, Pakan menerusi pengeluaran pelbagai produk lada tempatan yang telah memasuki pasaran di Sarawak dan Semenanjung Malaysia.

Eyfissia, 29, berkata perniagaan keluarga itu telah beroperasi sejak 10 tahun lalu dengan menghasilkan produk di bawah jenama Lada Dayu.

“Kami mengeluarkan pelbagai produk seperti serbuk lada putih, serbuk lada hitam dan biji lada hitam.

“Biasanya apabila pelanggan membuat tempahan, barulah kami membungkus produk mengikut pesanan,” katanya ketika ditemu bual Utusan Sarawak di Dapur Sarikei & Jualan di Program Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Sarikei, hari ini.

Katanya, produk Lada Dayu mendapat sambutan daripada pelanggan di seluruh Sarawak termasuk Sarikei dan Kuching, malah turut menerima tempahan dari Semenanjung Malaysia.

Antara produk yang sering mendapat permintaan ialah biji lada hitam dan serbuk lada hitam dalam botol.

Eyfissia berkata, perusahaan tersebut diasaskan oleh bapanya, Amin Ngong, yang mencetuskan idea untuk menghasilkan serbuk lada sebagai produk nilai tambah daripada hasil tanaman lada.

“Semuanya bermula daripada ayah saya. Beliau yang memberi idea untuk menghasilkan serbuk lada ini.

“Apabila bekalan lada kami tidak mencukupi, kami akan mendapatkan bekalan tambahan daripada orang lain.

“Semua lada yang digunakan berasal dari kawasan Dayu, Pakan,” katanya.

Beliau berharap perniagaan keluarga itu akan terus berkembang dalam tempoh lima tahun akan datang dan mampu memperluaskan lagi pasaran produk Lada Dayu ke seluruh negara.

“Saya berharap lebih ramai orang yang mengenali produk kami selepas melihat penyertaan kami di program ini dan seterusnya membuat tempahan,” katanya.

Katanya, penyertaan dalam Program Sarawakku Sayang bukan sahaja membuka peluang memperkenalkan produk kepada orang ramai, malah menjadi platform untuk memperluaskan rangkaian pelanggan dan mempromosikan hasil keluaran usahawan tempatan Sarawak.

Oleh Earl Anek