Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • HIBURAN
  • Legasi: Bomba The Movie angkat realiti pengorbanan wira merah
  • HIBURAN

Legasi: Bomba The Movie angkat realiti pengorbanan wira merah

Utusan Sarawak 14 hours ago

PENERBIT filem Legasi: Bomba The Movie Keoh Chee Ang bergambar selepas ditemubual Bernama di Wisma Bernama baru-baru ini. Tidak seperti filem aksi lain yang menampilkan konflik antara watak baik dan jahat, Legasi: Bomba The Movie mengetengahkan realiti tugas anggota bomba yang berdepan bencana, tragedi dan kebakaran. Keoh berkata filem itu menekankan aksi penyelamatan di samping mengangkat nilai pengorbanan dan persahabatan dalam kalangan anggota bomba, sekali gus memperlihatkan sisi kemanusiaan barisan hadapan yang jarang ditonton umum. Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Tidak seperti filem aksi lain yang menampilkan konflik antara watak baik dan jahat, Legasi: Bomba The Movie mengetengahkan realiti tugas anggota bomba yang berdepan bencana, tragedi dan kebakaran.

Penerbitnya Keoh Chee Ang berkata filem itu menekankan aksi penyelamatan di samping mengangkat nilai pengorbanan dan persahabatan dalam kalangan anggota bomba, sekali gus memperlihatkan sisi kemanusiaan barisan hadapan yang jarang ditonton umum.

“Mesej utama yang ingin kami sampaikan ialah pengorbanan, kerana dalam apa sahaja insiden, anggota bomba pihak pertama yang masuk ke lokasi kejadian tanpa mengira risiko,” katanya kepada Bernama.

Menariknya, filem cetusan idea Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah itu yang mendapat kerjasama penuh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, menampilkan beberapa insiden sebenar antaranya operasi menyelamat pendaki terkandas di Gunung Kinabalu dan letupan paip gas di Putra Heights.

Keoh berkata kira-kira 40 peratus elemen kisah benar dikekalkan, manakala selebihnya digarap dengan elemen dramatik untuk menguatkan penceritaan.

PELAKON utama filem Legasi: Bomba The Movie Muhammad Amir Sabaruddin atau lebih dikenali dengan nama Ben Amir bergambar selepas ditemubual Bernama di Wisma Bernama baru-baru ini Membawa watak Amir, pegawai kedua pasukan elit Alpha yang terpaksa mengambil alih kepimpinan selepas tragedi, Ben menggalas cabaran menjiwai transformasi seorang anggota bomba yang perlu berdepan situasi getir, membuat keputusan pantas dan mempertaruhkan nyawa orang lain. Bagi memastikan lakonan yang meyakinkan, Ben dan barisan pelakon lain turut menjalani latihan intensif di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia, Wakaf Tapai, Terengganu. Foto BERNAMA

“Lebih 100 anggota bomba turut terbabit sebagai pelakon pembantu dan ekstra. Mereka bukan sahaja menyertai penggambaran, malah melakonkan semula rutin operasi sebenar. Kehadiran anggota bomba menambah keaslian kepada babak aksi yang dipaparkan,” katanya.

Beliau berkata hampir 50 peratus adegan filem itu menggunakan teknologi imej janaan komputer (CGI), khususnya babak kebakaran, selain menjalani pascaproduksi di Hong Kong dan China bagi memastikan hasil visual lebih berkualiti serta memenuhi standard antarabangsa.

“Filem ini membuktikan industri tempatan mampu menghasilkan karya berkualiti dengan peruntukan terhad. Harapan kami agar filem ini dapat menyemai rasa hormat masyarakat terhadap tugas anggota bomba serta menjadi simbol aspirasi nasional,” katanya.

MUHAMMAD Amir Sabaruddin atau lebih dikenali dengan nama Ben Amir.

Bintang utama Legasi: Bomba The Movie, Ben Amir atau nama sebenarnya Muhammad Amir Sabaruddin, 35, mengakui watak yang dibawanya bukan sekadar peranan biasa, sebaliknya menuntut ketahanan fizikal dan mental.

Membawa watak Amir, pegawai kedua pasukan elit Alpha yang terpaksa mengambil alih kepimpinan selepas tragedi, Ben menggalas cabaran menjiwai transformasi seorang anggota bomba yang perlu berdepan situasi getir, membuat keputusan pantas dan mempertaruhkan nyawa orang lain.

“Watak ini benar-benar menguji saya. Ia jauh berbeza daripada peranan romantik atau remaja yang pernah saya bawa sebelum ini. Saya perlu memahami disiplin seorang anggota bomba, bahasa tubuh mereka dan cara mereka berkomunikasi di lapangan,” katanya.

Bagi memastikan lakonan yang meyakinkan, Ben dan barisan pelakon lain turut menjalani latihan intensif di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia, Wakaf Tapai, Terengganu.

“Setiap gerak geri dipantau pegawai bomba sebenar, termasuk cara mengangkat mangsa, memberi arahan hinggalah prosedur operasi standard (SOP) keselamatan,” katanya.

Menurutnya, antara cabaran yang perlu dilaluinya adalah ketika menjalani penggambaran di Gunung Kinabalu, Sabah.

“Sepatutnya kami dijadualkan menaiki helikopter namun akibat cuaca buruk, kami terpaksa mendaki secara tiba-tiba tanpa membuat sebarang persediaan, selain berdepan hujan lebat dari mula pendakian hingga ke puncak. Semua orang, termasuk kru, terpaksa menempuh keadaan itu,” katanya sambil mengakui pengalaman tersebut tidak akan dilupakan.

Mula ditayangkan di pawagam pada 21 Ogos lepas, filem arahan James Lee dan Frank See serta diterbitkan oleh Multimedia Entertainment itu turut dibintangi Nas Muammar Zar (Nas-T), Henley Hii, Hairie Othman, Ammar Alfian, Fad Anuar, Abbas Mahmood Sasidaran, Nia Atasha dan Mathni Razak.

Kisahnya berpusat pada anggota pasukan elit Special Tactical Operation and Rescue Malaysia (STORM) iaitu Amir (Ben Amir) yang dihantui trauma silam namun dipaksa kembali ke barisan hadapan apabila menara pencakar langit TEXVIN 118 mengalami kebakaran besar.– Bernama

Continue Reading

Previous: Taylor Swift dan Travis Kelce sah bertunang
Next: Kumpulan Rentar Artistic juara Tarian Kreatifku MSU 2025

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.