
MIRI: Kerjasama erat antara Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), guru besar, guru serta ibu bapa menjadi faktor penting dalam meningkatkan kemudahan dan kualiti pendidikan di sekolah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, usaha mengadakan Zumbathon yang berjaya mengumpul kira-kira RM50,000 tahun ini membuktikan komitmen semua pihak dalam membantu pembangunan sekolah.
Beliau berkata, kutipan tersebut menyamai pencapaian tahun lalu dan wajar diteruskan kerana manfaatnya dapat dinikmati oleh seluruh warga sekolah.
“Ini satu usaha yang baik kerana ibu bapa bekerjasama erat dengan guru besar dan para guru untuk memastikan kemudahan sekolah sentiasa dipertingkatkan,” katanya ketika merasmikan Zumbathon SK Tudan 2026, hari ini.
Lee berkata, beliau sendiri sentiasa memberi perhatian kepada keperluan sekolah sejak ia ditubuhkan dengan menyalurkan pelbagai peruntukan bagi membina kemudahan seperti dewan, laluan pejalan kaki berbumbung, kawasan parkir dan jejantas.
Menurutnya, pembinaan jejantas bernilai kira-kira RM7 juta merupakan antara projek terbesar yang dilaksanakan bagi memastikan keselamatan murid ketika melintas jalan.
“Kerjasama ibu bapa melalui PIBG amat penting kerana pembangunan sekolah bukan hanya bergantung kepada kerajaan atau pihak sekolah semata-mata,” katanya.
Pada masa sama, Lee mengingatkan pelajar supaya menggunakan telefon bimbit secara berhemah dan tidak menghabiskan terlalu banyak masa bermain permainan video sehingga mengabaikan pelajaran.
“Dunia hari ini berbeza dengan zaman kami dahulu. Telefon bimbit memang penting, tetapi jangan terlalu leka menggunakannya. Mesti ada disiplin dan masa yang mencukupi untuk belajar kerana masa depan bergantung kepada ilmu, teknologi dan kemahiran,” katanya.
Beliau turut mengingatkan pelajar agar memanfaatkan pelbagai inisiatif pendidikan yang disediakan kerajaan Sarawak, termasuk pendidikan universiti percuma kepada anak Sarawak yang layak di universiti milik kerajaan negeri.
Oleh Liong Chai Ling





