
MIRI: Penduduk di kawasan Senadin terus mendapat perhatian apabila Menteri Pengangkutan Dato Sri Lee Kim Shin turun padang menyertai Program Khidmat Bergerak SUPP N.75 Senadin bagi mendekati masyarakat serta meninjau projek kemudahan awam dan rekreasi di kawasan berkenaan.
Program yang berlangsung di Desa Bahagia, Vista Perdana itu menyaksikan Lee bersama pasukan khidmat bergerak mengedarkan pelekat nombor telefon kecemasan kepada penduduk bagi meningkatkan kesedaran mengenai langkah kesiapsiagaan menghadapi sebarang insiden kecemasan.
Dalam masa sama, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, turut berkongsi maklumat mengenai pelbagai inisiatif bantuan yang diperkenalkan Kerajaan Sarawak termasuk Skim Manfaat Kesihatan Warga Emas (SCHB), Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) dan Skim Pendidikan Tinggi Percuma (FTES).
Menurutnya, rakyat perlu sentiasa peka dengan pelbagai bantuan yang disediakan supaya mereka yang layak tidak terlepas peluang menikmati manfaat yang ditawarkan.
“Kerajaan Sarawak komited melaksanakan dasar dan program yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat. Justeru, masyarakat perlu mendapatkan maklumat yang tepat mengenai bantuan yang tersedia,” katanya.
Selepas program berkenaan, Lee mengadakan lawatan ke beberapa taman rekreasi dan kemudahan awam di Vista Perdana serta Milea Residence bagi menilai keadaan semasa dan mengenal pasti keperluan penambahbaikan.
Antara projek yang ditinjau ialah pembinaan bumbung di gelanggang bola keranjang Vista Perdana dan pembangunan taman rekreasi di Milea Residence di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP).
Beliau berkata, kemudahan rekreasi yang berkualiti penting dalam menggalakkan gaya hidup sihat, mengukuhkan hubungan komuniti serta menyediakan ruang yang selamat untuk aktiviti riadah dan sukan.
Dalam lawatan sama, Lee turut mengunjungi Terminal Bas Miri Sentral untuk meninjau keadaan kemudahan terminal serta mendapatkan maklum balas daripada penumpang yang pulang dan meneruskan perjalanan selepas sambutan Hari Gawai.
Turut hadir Kaunselor Toh Kah Shiong, Kaunselor Hiung Chien Yii, Kaunselor Raymond Jenang, Kapitan Chong Ah Muk, Kapitan Chong Khee Fah, Kapitan Connie Tang Tung Ming serta beberapa wakil belia.
Oleh Liong Chai Ling