Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • HIBURAN
  • Lee Je Hoon raikan dua dekad karier seni bersama peminat di Malaysia
  • HIBURAN

Lee Je Hoon raikan dua dekad karier seni bersama peminat di Malaysia

Utusan Sarawak 12 hours ago
LEE Je Hoon meraikan 20 tahun perjalanan seni bersama ribuan peminat di Kuala Lumpur dalam suasana penuh emosi dan penghargaan. Foto rasmi Our 20th Moment 2026 Lee Je Hoon Fanmeeting in Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR: Bintang tersohor Korea Selatan Lee Je Hoon meraikan ulang tahun ke-20 penglibatannya dalam dunia seni bersama ribuan peminat di Malaysia dalam satu acara penuh emosi dan penghargaan malam tadi.

Acara bertajuk Our 20th Moment 2026 Lee Je Hoon Fanmeeting in Kuala Lumpur yang berlangsung di Zepp KL itu menyaksikan figura yang dikenali dengan kepelbagaian wataknya berkongsi sorotan perjalanan seni sepanjang dua dekad.

Je Hoon, 42, yang mula mencuri perhatian menerusi filem Bleak Night, mengukuhkan kedudukannya sebagai pelakon kelas A menerusi naskhah hit seperti drama rantaian Signal dan siri fenomena Taxi Driver.

Popular dengan gelaran ‘Abang Teksi’ dalam kalangan peminat tempatan, pelakon itu turut membayangkan hasratnya untuk melebarkan sayap kerjaya ke negara ini pada masa hadapan.

BINTANG ‘Taxi Driver’, Lee Je Hoon berinteraksi dengan peminat pada sesi fanmeeting di Zepp Kuala Lumpur malam tadi. Foto rasmi Our 20th Moment 2026 Lee Je Hoon Fanmeeting in Kuala Lumpur

“…Saya juga ingin menjalani pengembaraan di Malaysia,” katanya, yang bukan sahaja mengujakan peminat tetapi memperlihatkan keterbukaan untuk mendekati penonton tempatan secara lebih dekat.

Suasana dewan mula bergema apabila jejaka kelahiran Seoul itu membuka tirai persembahan tepat 6.00 petang dengan mendendangkan lagu Coffee with Me, sambil berjalan masuk menerusi pintu utama untuk menyantuni peminat.

Rata-rata peminat yang digelar ‘Hoonist’ tidak melepaskan peluang merakam momen berkenaan, selain memberikan sorakan padu buat idola mereka.

Sepanjang acara, Je Hoon tidak hanya berkongsi kenangan sepanjang dua dekad kerjayanya tetapi turut meluahkan rasa syukur atas sokongan tidak berbelah bahagi daripada peminat yang sentiasa mengiringi setiap langkahnya.

“Saya masih tidak percaya sudah 20 tahun berlalu tetapi saya percaya ini semua kerana kasih sayang dan sokongan anda semua. Saya tidak akan berada di sini tanpa anda semua. Terima kasih!,” katanya sambil memberikan senyuman lebar buat penonton.

BINTANG Korea Selatan, Lee Je Hoon meraikan 20 tahun perjalanan seni bersama ribuan peminat di Malaysia menerusi fanmeeting penuh emosi di Zepp Kuala Lumpur. Foto rasmi Our 20th Moment 2026 Lee Je Hoon Fanmeeting in Kuala Lumpur.

Pertemuan selama dua jam bersama peminat itu juga diserikan dengan pelbagai segmen istimewa termasuk permainan interaktif, sekali gus memperlihatkan hubungan erat beliau bersama peminat.

Dalam suasana cukup santai, aktor tampan itu sempat berkongsi perkara-perkara kecil tentang dirinya termasuk kegemarannya menikmati telur hancur, selain memberitahu beliau suka nasi lemak.

“Saya rasa nasi lemak adalah hidangan yang semua orang patut makan apabila berkunjung ke Malaysia. Bukan itu sahaja, Malaysia juga adalah ‘syurga’ makanan,” katanya.

Kemuncak segmen interaktif menyaksikan tiga peminat bertuah dipanggil ke pentas untuk menyertai permainan meneka makanan tempatan yang dimakan Je Hoon dengan matanya ditutup.

Je Hoon dilihat cukup menikmati setiap hidangan yang diberikan termasuk nasi lemak, roti canai, teh ais, karipap dan snek popular Super Ring, sambil memberikan deskripsi rasa untuk diteka oleh peminat.

Suasana menjadi lebih gamat dan mencuit hati apabila beliau sempat memberikan ucapan “Selamat Hari Raya” kepada semua yang hadir, memandangkan negara masih berada dalam suasana Syawal.

Pelakon serba boleh itu mengakhiri sesi berkenaan dengan persembahan khas iaitu lagu Beautiful.- Bernama

Continue Reading

Previous: Festival Coachella 2026 bermula, tampilkan bintang pop antarabangsa di Indio

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.