

LEE Dong-gun kini berdepan penyakit kronik yang tiada penawar, namun boleh dikawal seumur hidup.
SEOUL: Pelakon dan penyanyi terkenal Korea Selatan, Lee Dong Gun, 45, mengesahkan bahawa beliau kini menghidap ankylosing spondylitis, sejenis penyakit reumatik yang jarang berlaku dan memberi kesan kepada tulang belakang serta penglihatan.
Menurut laporan, Lee mula mengalami simptom sejak setahun lalu, termasuk mata berdarah, rasa pedih, penglihatan kabur dan sensitiviti terhadap cahaya.
Keadaan itu memaksanya bergantung kepada ubat titis mata dan antibiotik bagi mengawal kesakitan.
“Saya tidak mampu fokus, dan penglihatan saya semakin kabur. Cahaya pun terasa menyakitkan,” katanya dalam sebuah episod rancangan televisyen My Little Old Boy baru-baru ini.
Penyakit tersebut dikenal pasti selepas ujian X-ray menunjukkan keradangan ketara pada sendi sacroiliac, iaitu sendi yang menghubungkan tulang belakang dengan pelvis.
Doktor kemudian mengesahkan bahawa beliau menghidap ankylosing spondylitis, yang boleh menyebabkan tulang belakang menjadi kaku dan bercantum dalam jangka masa panjang.
Walaupun belum ada penawar untuk penyakit genetik ini, simptomnya boleh dikawal melalui rawatan fisioterapi, pengambilan ubat-ubatan, senaman berkala serta penjagaan pemakanan.
Lee turut dinasihatkan agar mengelakkan rokok, alkohol, serta makanan yang boleh mencetuskan keradangan.
Penyakit ini hanya menjejaskan kira-kira satu peratus penduduk Korea Selatan, dan kebanyakan kes dikenal pasti melalui simptom awal seperti uveitis (keradangan mata).- Agensi