CHARLES Leclerc meletakkan pasukan Ferrari yang dahagakan kemenangan di petak pendahulu perlumbaan pembuka tirai di Grand Prix Bahrain, kelmarin.
BOS Ferrari, Mattia Binotto berkata adalah sesuatu yang hebat untuk kembali selepas Charles Leclerc meletakkan pasukan Formula Satu yang dahagakan kemenangan itu di petak pendahulu perlumbaan pembuka tirai di Grand Prix Bahrain, awal pagi kelmarin.
Ia adalah petak pendahulu pertama Ferrari sejak Leclerc melakukanya di GP Azerbaijan Jun tahun lalu yang meningkatkan harapan untuk kemenangan pertama sejak 2019 buat pengeluar paling lama, paling berjaya dan terkenal itu.
Ferrari kembali ke kedudukan ketiga keseluruhan musim lalu selepas mengalami penurunan paling teruk dalam 40 tahun dengan tempat keenam pada 2020 dan tampak akan bertarung dengan Red Bull bagi penghormatan awal musim ini.
“Sesuatu yang hebat untuk berada di sana. Kami tahu ia memang sangat mencabar,” kata Binotto.
“Ia sangat sengit dan akan menjadi sangat rapat untuk keseluruhan musim, saya harap ia akan menjadi pertarungan yang bagus, perlumbaan yang hebat. Adalah hebat untuk berada di sana dan meraikannya.”
Ferrari tidak menang kejuaraan sejak 2008 tetapi harapan mereka meningkat tahun ini, pada permulaan era baharu dengan banyak perubahan pada peraturan yang boleh menamatkan kemarau itu.
Leclerc, yang kini mencipta 10 petak pendahulu, 0.123 saat lebih pantas berbanding pemandu Red Bull yang juga juara bertahan, Max Verstappen dan berkata persoalannya kini ialah bila dia akan menang.
“Jelas, tempoh dua tahun buat pasukan ini menjadi amat sukar selepas 2019,” kata pemandu berasal dari Monaco itu.
“Kami melalui dua tahun yang sangat sukar dan saya sedar ia hanya menunggu masa untuk kami kembali ke puncak kerana kami bekerja dengan baik.
“Tapi sehingga anda berjaya melakukannya, anda akan sentiasa ada rasa ragu.” – AFP