PEMENANG pemandu Ferrari Monegasque, Charles Leclerc menerima trofi tempat pertamanya di atas podium selepas Grand Prix Formula Satu Bahrain di Litar Antarabangsa Bahrain di bandar Sakhir. • Foto AFP
CHARLES Leclerc dari Ferrari memenangi perlumbaan pembukaan musim Formula Satu di Grand Prix Bahrain yang dramatik kelmarin selepas juara bertahan Max Verstappen terkeluar akibat masalah elektrik dua pusingan sebelum tamat.
Carlos Sainz menjadikannya Ferrari satu-dua manakala Sergio Perez melengkapkan hari buruk untuk pasukan Red Bull, Verstappen dengan berpusing keluar dari perlumbaan dipusingan terakhir kerana masalah mekanikal, menyerahkan tempat ketiga kepada Lewis Hamilton.
George Russell, dalam perlumbaan pertamanya sejak menyertai Hamilton di Mercedes untuk menggantikan Valtteri Bottas, menduduki tempat keempat untuk memberikan Mercedes 27 mata yang tidak dapat mereka impikan pada pertengahan perlumbaan.
Bagi Leclerc, yang bersikap tenang apabila dia dan Verstappen bertukar pendahuluan lima kali dalam dua pusingan dalam permulaan perlumbaan yang sengit, kemenangan itu sungguh menggembirakan.
“Begitulah cara kita harus memulakan musim. Satu-dua, satu-dua. Mamma mia,” kata pemandu dari Monaco itu di radio pasukan.
Sebaik sahaja trofi perlumbaan berada di tangannya, Leclerc berkata: “Saya sangat gembira. Kami tahu ini adalah peluang besar untuk pasukan dan mereka telah melakukan kerja yang luar biasa untuk membina kereta yang menakjubkan.
“Satu-dua hari ini dengan Carlos – kami tidak boleh mengharapkan yang lebih baik. Sungguh luar biasa untuk kembali ke puncak.”
Terdapat juga keputusan yang luar biasa untuk Haas, pasukan yang gagal mengutip walaupun satu mata musim lalu dan terpaksa menggantikan pemandu dari Rusia, Nikita Mazepin — dan tajaan taikun bapanya terhadap pasukan itu — akibat pencerobohan Ukraine.
Pemandu yang menggantikannya, Kevin Magnussen, menduduki tempat kelima dalam perlumbaan pertama pemandu Denmark itu sejak 2020 untuk mengumpul 10 mata.
Zhou Guanyu mencipta sejarah apabila dia mengutip mata pertama China dalam Formula Satu selepas mengemudi Alfa Romeo miliknya ke tempat kesepuluh.
Dalam sambutan berganda untuk Asia, pemandu Jepun, Yuki Tsunoda menduduki tempat kelapan dan empat mata untuk AlphaTauri. – AFP