
KOTA SAMARAHAN: Projek Lebuh Raya Pan Borneo kini hampir siap sepenuhnya dengan kemajuan mencapai 99 peratus, namun masih terdapat beberapa cabaran yang memperlahankan kerja pembinaan, terutama di kawasan Sibuti.
Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof, menjelaskan bahawa kelewatan di lokasi berkenaan berpunca daripada kerja pengalihan paip yang masih dalam proses.
“Ada progres, tetapi ada isu besar di sebelah Sibuti kerana kerja tidak dapat dilakukan sehingga paip baru disiapkan. Sebab itu pergerakan agak lambat.
“Namun, secara keseluruhannya, projek ini boleh dikatakan sudah siap,” katanya ketika ditemui di majlis Santunan Kasih Ramadan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di Masjid Darul Sabirin, Kampung Empila, hari ini.
Menurut beliau, tumpuan kini beralih kepada beberapa projek infrastruktur lain yang sedang giat dilaksanakan, termasuk Projek Jalan Penghubung Sarawak-Sabah (SSLR) Fasa 1, 2 dan 3, serta projek Trans Borneo yang menghubungkan Lawas dan Limbang melalui Brunei.
“SSLR di bawah seliaan Dato Sri Alexander Nanta Linggi sedang berjalan dengan baik, dan kontrak untuk ketiga-tiga fasa telah dianugerahkan.
“Selain itu, Trans Borneo turut merangkumi ‘redline’ yang membabitkan jajaran tertentu di bawah projek ini,” jelasnya.
Berhubung peruntukan bagi ‘redline’, beliau berkata perkara itu masih dalam perhatian Menteri Kerja Raya.
“Kita perlu mendapatkan butiran lanjut daripada beliau, tetapi saya difahamkan Dato Sri Alexander sedang memperjuangkan perkara ini,” tambahnya.
Oleh Amanda L.