KUCHING: Projek Lebuhraya Pesisir Utara yang menghubungkan Limbang dengan Lawas akan memacu lebih banyak perdagangan dan pelaburan dalam Kawasan Pertumbuhan Asean Timur Brunei-Indonesia- Malaysia dan Filipina (BIMP-EAGA).
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan memberitahu, lebuh raya itu akan menyediakan jaringan jalan raya yang penting bagi sektor pengangkutan dan logistik di rantau ini.
“Ia terletak strategik berhampiran dengan Brunei, Sabah dan Indonesia.
“Dengan jalan raya ini, ini membolehkan kita memajukan perdagangan dan pelaburan BIMP-EAGA yang lebih besar bagi membawa kemakmuran ekonomi yang luar biasa ke rantau ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Makmal Penilaian Nilai untuk Lebuh Raya Pesisir Utara di Pusat Konvensyen Penview (PCC), semalam.
Tambahnya, penempatan semula ibu kota Indonesia dari Jakarta ke Kalimantan akan membawa kesan besar terutamanya terhadap perdagangan rentas sempadan yang melibatkan Sarawak.
“Lebuh raya ini juga dapat meningkatkan hubungan dengan perkembangan baharu industri minyak dan gas di Limbang yang masih dalam kajian dan cadangan kilang minyak di Lawas,” ujarnya.
Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Kedua itu mengatakan, projek Lebuhraya Pesisir Utara tersebut menganjur sepanjang 86 kilometer.
“Projek ini akan membantu memacu industri pertanian dan pelancongan di rantau ini setelah siap nanti dan disatukan dengan ‘Sarawak Link Road’ bagi meningkatkan hubungan jalan raya dan udara.
“Hasil pertanian dari pedalaman di rantau ini akan dapat diangkut ke pusat bandar sebelum diangkut melalui udara untuk pasaran ke negara lain,” jelasnya
Oleh Nur Ain Otsman