Lebih RM34 juta bagi pemasangan lampu jalan solar di 362 lokasi – Nanta

Facebook
WhatsApp
MENTERI Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi pada sesi soal jawab lisan pada Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima Parlimen Kelima Belas, Sidang Dewan Negara di Bangunan Parlimen hari ini.

KUALA LUMPUR: Kerajaan memperuntukkan RM34.19 juta tahun ini bagi pemasangan lampu jalan diod pemancar cahaya (LED) berkuasa solar di 362 lokasi terpilih di Jalan Persekutuan seluruh negara.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata lampu solar lebih sesuai dipasang di kawasan yang jauh dari grid elektrik, lokasi kerap berlaku kecurian kabel atau vandalisme serta jalan kampung dan pedalaman.

“Pemasangan lampu jalan berkuasa solar akan terus dinilai secara bersasar berdasarkan kesesuaian teknikal, keberkesanan kos, keperluan penyelenggaraan dan manfaat teknologi hijau,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Nanta menjawab soalan Senator Datuk Anna Bell @ Suzieana Perian mengenai perancangan kementerian untuk memberikan keutamaan kepada pemasangan lampu jalan solar di kawasan luar bandar dan pedalaman, khususnya di Sabah dan Sarawak.

Bagaimanapun, beliau berkata penggantian lampu jalan LED konvensional yang rosak di kawasan mempunyai bekalan elektrik sedia ada masih menjadi pilihan lebih ekonomik kerana kos pemasangan lampu jalan solar lebih tinggi dengan komponen baterinya dianggarkan merangkumi kira-kira 60 peratus daripada harga keseluruhan kelengkapan lampu. 

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Senator Datuk Seri Mohamad Zaini Salleh mengenai cadangan pemasangan lampu jalan dari Terowong Genting Sempah hingga Plaza Tol Karak, Nanta berkata 297 unit lampu jalan LED berkuasa solar akan dipasang di beberapa lokasi di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) yang dijadualkan siap pada penghujung tahun ini.

Beliau berkata kontraktor bagi kerja berkenaan telah dilantik manakala lokasi pemasangan meliputi beberapa jajaran arah timur dan barat antara Bentong Timur, Karak serta Kampung Sungai Dua.

Selain pemasangan lampu LED solar, Nanta berkata lampu jalan akan dipasang sepanjang kira-kira 26 kilometer dari kawasan selepas Terowong Genting Sempah hingga Persimpangan Mempaga menerusi projek pelebaran KLK yang akan dilaksanakan secara berperingkat.

Beliau berkata sebanyak 13 lokasi kerap berlaku kemalangan di KLK dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) dikenal pasti untuk tindakan penambahbaikan dan mitigasi termasuk pemasangan jalur gegar, pemulihan turapan serta penambahbaikan perabot keselamatan jalan.

Nanta berkata pemantauan awal mendapati sesetengah lokasi yang telah ditambah baik mencatat pengurangan kemalangan sehingga 100 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.

Menjawab soalan asal Mohamad Zaini mengenai langkah meningkatkan kapasiti, keselamatan dan kelancaran trafik di KLK, Nanta berkata projek pelebaran dari KM19.2 di Plaza Tol Gombak hingga KM64.5 di Persimpangan Mempaga mencatatkan kemajuan 6.4 peratus setakat 25 Julai dengan jangkaan siap pada 2030.

Projek yang bermula pada Mac lepas dan dilaksanakan AFA PRIME Berhad itu bertujuan menambah kapasiti laluan serta mengurangkan kesesakan, khususnya pada musim perayaan, cuti umum dan hujung minggu. – Bernama