KUCHING: Lebih 10 memorandum persefahaman (MoU) dan memorandum perjanjian (MoA) telah dimeterai pada Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (IDECS) 2024, di sini, hari ini.
Pemeteraian dan pertukaran MoU dan MoA yang menekankan kerjasama strategik untuk transformasi digital, kemapanan dan inovasi teknologi di Sarawak itu disaksikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).
IDECS menerusi satu kenyataan berkata, kesemua MoU dan MoA ini mencerminkan komitmen bersama untuk memupuk inovasi, mempercepatkan transformasi digital dan memastikan pertumbuhan ekonomi mampan merentasi pelbagai sektor di Sarawak.
Selain itu, katanya, MoU dan MoA yang melibatkan pelbagai agensi dan syarikat itu sekali gus akan mengukuhkan kedudukan Sarawak sebagai hab digital utama di rantau ini.
Antara MoU yang ditandatangani termasuk antara Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) dan Telekom Malaysia (TM), SDEC dan WITSA, SDEC, CENTEXS dan Angkasa-X, SDEC dan Powerplants Australia, SDEC dan Kintone Southeast Asia Sdn Bhd serta SDEC, MRANTI, TEGAS dan StartUp Borneo.
Pada persidangan itu juga kerajaan Sarawak memeterai MoU dengan Jabatan Imigresen Malaysia, menandakan langkah penting mengenai Integrasi Sistem Pendekatan Transformasi Pekerja Asing dan Sistem Imigresen Malaysia.
Selain itu, kerajaan Sarawak juga memeterai MoU bagi menjalinkan kerjasama dengan NetRunner bagi Pembangunan Taman Pusat Data Tier 4 merangkumi kuasa hijau, bekalan air atau keperluan pembangunan lain yang berkaitan di bawah tanggungjawab Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi (MUT).
Selain itu, MoU antara Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) dan Plum Consulting LLP, SMA dan MEASAT serta Sarawak Information Systems Sdn Bhd (SAINS) dan MSC Trustgate.
Pada majlis sama, Sarawak Energy Berhad (SEB) menandatangani perjanjian kerjasama dengan NetRunner dan perjanjian pelbagai pihak melibatkan Silicon Catalyst LLC, Siemens Electronic Design Automation Pte. Ltd., Cambridge Microelectronics Limited, The Hive Climate AI dan Weeteq.
Sementara itu, antara MoA yang dimeterai termasuk antara CENTEXS dan Huawei bertujuan menyediakan kemudahan Latihan Pusat Data Hijau Hiperskala bagi tujuan pembangunan bakat.
Turut memeterai MoU pada persidangan ini ialah NetRunner dan Aizo Group Berhad untuk Pembinaan Pusat Data.
Selain itu, Zecon Berhad, SDEC dan CENTEXS serta Zecon Berhad bagi Taman Teknologi Hijau Kota Petra Zecon, sebuah koridor teknologi tinggi hijau bersepadu sepenuhnya dan Huawei Technologies (Malaysia) Sdn Bhd.
MoU yang terakhir ialah melibatkan Zecon dan China Energy International Group Sdn Bhd berhubung dengan Tech Park dan tenaga hijau boleh diperbaharui di Kota Petra Green Tech Park Kuching.
Oleh RYNNA SHA’ERRA