



PENYANYI Bella Astilah (empat dari kiri) dan penyanyi Indonesia, Ade Govinda (dua dari kiri), bergambar pada Sidang Media Eksklusif di Renaissance, Kuala Lumpur, hari ini sempena pelancaran lagu baharu mereka berjudul “Lebih Indah Berpisah Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Pelakon dan penyanyi Bella Astillah tampil dengan single terbaharu Lebih Indah Berpisah yang diinspirasikan daripada kisah hidupnya sendiri.
Merupakan kolaborasi istimewa dengan pemuzik tersohor Indonesia Ade Govinda sebagai pencipta lagu, Lebih Indah Berpisah mengangkat tema keberanian melepaskan hubungan yang tidak lagi dihargai demi kebahagian diri.
Sejak dilancarkan bulan lepas, lagu tersebut telah meraih lebih 700,000 tontonan di platform YouTube setakat ini.
Menurut Ade, lagu itu dihasilkan sebagai hadiah istimewa buat Bella selepas beliau mendalami kisah kehidupan artis berkenaan melalui perbualan mereka sebelum proses penciptaan lagu bermula.
“Sebelum ini saya bersembang dengan Bella tentang kisah hidupnya, jadi saya masukkan semua pengalaman itu ke dalam lagu ini dan terhasillah Lebih Indah Berpisah,” katanya kepada pemberita selepas sidang media pelancaran lagu berkenaan, di sini hari ini.
Katanya lagu itu turut menjadi penghormatan kepada individu yang berani membuat keputusan besar dalam hidup apabila cinta tidak lagi dihargai.
Sementara itu, Bella atau nama sebenarnya Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, 31, berkata lagu tersebut amat istimewa kerana lirik dan melodinya menggambarkan kekuatan seseorang untuk berpisah secara ikhlas, walaupun berdepan kesedihan dan tekanan emosi.
“Lagu ini bukan nak kata Bella belum move on atau masih nak ungkit kisah lama, tidak. Sebenarnya lebih kepada untuk bersedia dengan hidup yang baharu.
“Tidak semua perpisahan itu untuk menjatuhkan diri sendiri, menyedihkan ataupun nak jatuhkan orang lain. Tidak. Sebenarnya lagu ini lebih kepada nak cuba positifkan (perpisahan),” katanya.
Berkongsi mengenai proses rakaman lagu tersebut, bekas isteri Aliff Aziz itu berkata beliau menghadapi tempoh sukar sehingga mengalirkan air mata kerana lirik lagu itu sangat mendalam dan menyentuh hatinya.
“Bila mula menyanyi, suasana pun jadi sangat emosional. Memang rasa sedih sangat, selepas itu barulah saya betul-betul dapat buat rakaman dengan tenang.
“Nak kata saya flashback sepanjang rakaman itu tak juga, tapi apa yang kita lalui dalam hidup, semua itu tetap ada dalam hati. Kita ini manusia, ada masa kita rasa down (sedih), ada masa kita rasa bahagia,” katanya, menambah beliau mengambil masa kira-kira tiga jam untuk merakamkan lagu berkenaan.– Bernama