
KUCHING: Tekanan trafik di kawasan bandar di Sarawak dilihat semakin meningkat susulan pertumbuhan populasi, perkembangan aktiviti komersial serta pertambahan pemilikan kenderaan persendirian di negeri ini.
Menurut Menteri Pengangkutan, Dato Sri Lee Kim Shin, statistik menunjukkan bahawa sehingga penghujung 2025, Sarawak merekodkan lebih dua juta kenderaan berdaftar dengan majoritinya terdiri daripada kereta persendirian dan motosikal.
“Pertambahan pemilikan kenderaan persendirian yang berterusan memberi tekanan yang ketara kepada rangkaian jalan raya bandar.
“Kesesakan trafik semakin ketara terutama pada waktu puncak di beberapa laluan utama serta persimpangan sibuk, yang turut berpotensi meningkatkan risiko keselamatan jalan raya,” katanya.
Beliau berkata demimian ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Trafik Bandar Sarawak (SUTMaC) Bil.1/2026 di sini, hari ini.
Tambahnya, pelaksanaan projek infrastruktur seperti Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) merupakan inisiatif penting bagi meningkatkan sistem pengangkutan bandar dalam jangka panjang, namun kerja pembinaan yang sedang dijalankan mungkin memberi kesan sementara terhadap aliran trafik.
“Cabaran ini menunjukkan kepentingan pengurusan trafik bandar yang berkesan dan diselaraskan dengan baik.
“Pelbagai isu seperti kapasiti jalan raya, langkah mengurangkan kesesakan, pengurusan parkir, sistem lampu isyarat pintar, kemalangan jalan raya serta langkah mitigasi memerlukan kerjasama rapat antara agensi berkaitan dan pihak berkepentingan.
“SUTMaC berperanan sebagai platform penting yang menghimpunkan agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan, pengendali pengangkutan, badan penguat kuasa serta agensi teknikal untuk berkongsi maklumat, menyelaras perancangan dan menangani isu pengurusan trafik bandar secara bersama,” jelasnya.
Beliau mengulas lanjut, pada mesyuarat sebelum ini pihaknya telah meminta Sarawak Multimedia Authority (SMA) bersama Kementerian Pengangkutan merangka piawaian serta garis panduan bagi pelaksanaan sistem lampu isyarat pintar di Sarawak.
“Dengan input teknikal daripada SMA, Piawaian dan Garis Panduan Sistem Lampu Isyarat Pintar Sarawak telah dikeluarkan secara rasmi kepada kementerian serta agensi berkaitan pada Februari tahun ini,” ujarnya.
Pada mesyuarat sama, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak turut membentangkan statistik kemalangan jalan raya bagi membolehkan agensi berkaitan menganalisis trend kemalangan serta merangka strategi pengurusan trafik yang lebih berkesan.
Sementara itu, pihak berkuasa tempatan dan majlis perbandaran utama turut mengemukakan perkembangan isu kesesakan trafik di kawasan masing-masing termasuk kemajuan langkah mitigasi serta projek yang diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Lee menegaskan bahawa pengurusan trafik bandar yang berkesan bukan sahaja penting bagi meningkatkan pengalaman perjalanan harian orang awam, malah menyokong kecekapan operasi bandar serta pembangunan ekonomi negeri.
Turut hadir Timbalan Menteri Pengangkutan (Udara dan Jalan), Datuk Dr Jerip Susil; Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan, Wong Hee Sieng serta pegawai kanan kementerian dan wakil agensi berkaitan.