Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • HIBURAN
  • Lebih dua dekad dalam industri seni, Misha Omar hargai sokongan wartawan
  • HIBURAN

Lebih dua dekad dalam industri seni, Misha Omar hargai sokongan wartawan

Utusan Sarawak 10 hours ago

KUALA LUMPUR: Lebih dua dekad menghiasi dunia seni tanah air dan menempuh pelbagai onak dan duri untuk berada di tempat sekarang, Misha Omar tidak lupa jasa mereka yang menyokong perjalanan seninya, termasuk wartawan yang setia mendokumentasikan setiap detik kerjayanya.

Misha atau nama sebenarnya Samihah @ Aisah Omar, 43, berkata hubungan eratnya dengan pengamal media banyak membantunya membina keyakinan diri ketika mengharungi pelbagai cabaran dan fasa perubahan dalam karier seni, termasuk semasa berdepan dengan masalah kehilangan suara dan dilema peribadi.

“Kita ini, seperti yang arwah bapa saya pernah katakan, tidak dipertemukan secara sia-sia. Setiap daripada kita akan berselisih jalan dan kadangkala membawa bersama sebahagian daripada kisah yang berlaku.

“Selain mempunyai teman-teman rapat yang benar-benar mengenali saya, saya juga sangat (terbuka) dengan rakan-rakan wartawan. 

“Hubungan saya dengan wartawan sangat istimewa. Saya percayakan kalian dan kalian percayakan saya. Saya rasa artis satu era dengan saya juga begitu. Inilah hubungan yang saya sangat hargai dalam hidup saya,” katanya selepas pelancaran single terbaharunya ‘Break’ di sini, baru-baru ini.

Penyanyi yang mula dikenali melalui program Bintang RTM 2001 itu menganggap hubungan dengan media sebagai sesuatu yang sangat dihargai dalam hidupnya, selain persahabatan rapat dengan mereka yang benar-benar mengenali dirinya.

Berkongsi single terbarunya ‘Break‘, penyanyi yang mula dikenali melalui program Bintang RTM 2001 itu berkata lagu ciptaan komposer ternama Indonesia Melly Goeslaw tersebut bukan sekadar sebuah komposisi muzik, tetapi lebih kepada puisi yang menceritakan kisah percintaan dengan cara yang unik.

“Saya rasa Melly sangat memahami karakter suara saya dan beliau faham saya seorang ‘storyteller’ dalam lagu. Puisi yang diciptakan itu mungkin nampak biasa pada pandangannya, tetapi setelah digali, ia menjadi sebuah cerita yang mudah disampaikan,” katanya yang mengganggap kolaborasi itu ibarat impian yang menjadi kenyataan.

Dalam perkembangan lain, Misha yang bakal menjayakan konsert solo DiA Misha Omar di Mega Star Arena, Kuala Lumpur pada 29 November depan, bersyukur apabila tiket bagi kategori Gold, Silver dan Platinum habis terjual hanya dalam tempoh 15 minit.

“Ini petanda yang sangat baik. Saya sebenarnya agak bimbang kerana banyak konsert diadakan pada hujung tahun ini, tetapi maklum balas yang diterima amat positif. Saya sangat menghargai mereka yang benar-benar ingin bersama-sama saya pada malam itu,” katanya.

Bagi memastikan persembahan terbaik, penyanyi kelahiran negeri Cik Siti Wan Kembang ini akan memulakan persiapan fizikal secara intensif 60 hari sebelum konsert solonya itu selain menjalani latihan vokal dengan Datuk Syafinaz Selamat. 

Konsert DiA Misha Omar mengetengahkan tema perjalanan 23 tahun kerjaya Misha dalam industri seni tanah air, dengan susunan lagu dan penceritaan yang membawa penonton menyusuri detik-detik penting dalam hidup dan kariernya.

“Saya tak pernah ambil ringan kerja saya. Setiap kali naik pentas, saya cuba beri yang terbaik. Saya percaya itulah yang buat kawan-kawan dan peminat masih percaya pada saya,” katanya yang turut berhasrat untuk mencuba melakukan pergerakan di atas pentas, menjadikan konsertnya lebih dinamik.

Sementara itu, Melly yang membuat kejutan istimewa apabila hadir di majlis pelancaran lagu Break meluahkan rasa bangganya terhadap Misha dan menyifatkan penyanyi itu mempunyai kebolehan untuk menyampaikan cerita melalui lagu dengan cara yang menyentuh jiwa.

Katanya keistimewaan Misha terletak pada keupayaannya menyampaikan kisah melalui lagu, menjadikan setiap bait lirik terasa hidup, terutamanya apabila digunakan sebagai runut bunyi dalam sesebuah filem.

“Saya mula meminati Misha selepas mendengar Pulangkan dalam filem Pontianak Harum Sundal Malam, saya peminat filem seram dan setiap kali lagu nyanyiannya muncul dalam filem itu sangat menyentuh hati,” katanya yang mengakui sebak apabila pertama kali bertentang mata dengan Misha pada majlis tersebut.– Bernama

Continue Reading

Previous: Justin Timberlake hidap penyakit Lyme
Next: Tiga tahun cipta lagu tema HKHM: Affan semai semangat cinta negara melalui muzik

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.