
KUCHING: Lebih 90,000 rakyat Sarawak yang sebelum ini tercicir daripada senarai penerima Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) berpeluang menikmati bantuan tersebut menerusi proses rayuan yang sedang dilaksanakan kerajaan negeri.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, mereka yang tidak tersenarai dalam pangkalan data Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) masih boleh mengemukakan rayuan sekiranya memenuhi syarat kelayakan yang ditetapkan.
Menurut beliau, hasil semakan awal mendapati rayuan yang diterima berpotensi melibatkan tambahan lebih 90,000 penerima baharu di seluruh Sarawak.
“Ada yang tercicir daripada senarai LHDN. Kita minta mereka membuat rayuan. Hasil daripada rayuan itu, tambahan lebih kurang 90,000 orang lagi berpotensi menerima bantuan ini.
“Jika ada anak buah atau penduduk yang layak tetapi namanya tiada dalam senarai, mereka boleh mengemukakan rayuan dan sekiranya memenuhi syarat, mereka juga akan menerima bantuan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi tinjauan SKAS dan majlis perasmian Taman Farley di Pasar Raya Farley di sini, hari ini.
Abang Johari berkata, setakat ini seramai 874,878 rakyat Sarawak menerima manfaat SKAS yang diwujudkan bagi membantu golongan memerlukan berdepan peningkatan kos sara hidup.

Katanya, daripada jumlah tersebut, seramai 405,505 penerima terdiri daripada kategori isi rumah, manakala 127,266 orang merupakan warga emas dan 342,107 lagi adalah individu bujang.
Menurut beliau, kerajaan negeri turut meningkatkan peruntukan SKAS tahun ini dengan pembayaran dibuat sebanyak tiga kali setahun bagi memastikan bantuan sampai ketika rakyat benar-benar memerlukannya.
“Pembayaran pertama dibuat pada Mac, diikuti sebelum sambutan Gawai dan seterusnya pada November bagi membantu keluarga membuat persiapan persekolahan anak-anak.
“Dengan cara ini, perbelanjaan untuk keperluan asas seperti beras, gula dan barang dapur dapat ditanggung melalui bantuan kerajaan, sekali gus membolehkan keluarga menggunakan pendapatan mereka untuk keperluan lain,” jelasnya.
Beliau berkata, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM680 juta bagi menjayakan program bantuan tersebut yang disalurkan secara bersasar menerusi platform S Pay Global.
Tambahnya, kaedah pembayaran tanpa tunai itu bukan sahaja memudahkan penerima membeli keperluan asas, malah memastikan bantuan digunakan mengikut tujuan asal tanpa berlakunya ketirisan.
“Ini adalah bantuan yang disasarkan kepada keperluan asas keluarga. Kita mahu memastikan bantuan yang diberikan benar-benar dimanfaatkan untuk tujuan yang sepatutnya,” katanya.