
SIBU: Kebakaran terbuka masih dilaporkan di empat lokasi di Sarawak melibatkan keluasan lebih 88 hektar, dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) negeri terus bertungkus lumus menjalankan operasi pemadaman.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi JBPM Sarawak berkata kebakaran terbesar membabitkan ladang nenas di Marudi, Bahagian Miri dengan keluasan 80.15 hektar, diikuti bekas tapak pelupusan sampah di Kampung Plaie, Kota Samarahan seluas empat hektar.
Kawasan hutan seluas dua hektar berhampiran Kampus Universiti Teknologi MARA (UiTM) Mukah dan tapak pelupusan sampah Kampung Jerijih seluas dua hektar di Tanjung Manis turut mengalami kebakaran terbuka.
“Hingga hari ini terdapat empat insiden kebakaran terbuka yang masih berterusan di beberapa lokasi di Sarawak,” katanya.
Berdasarkan maklumat di laman sesawang Jabatan Alam Sekitar (JAS) hari ini, bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang direkodkan di 12 stesen pemantauan di Sarawak hingga 12.40 tengah hari kekal pada tahap sederhana, iaitu antara 53 hingga 74.– Bernama