
SHAH ALAM: Lebih 800,000 murid dan pelajar memulakan sesi persekolahan baharu bagi tahun 2026, melibatkan kemasukan ke Tahun Satu dan Tingkatan Satu di seluruh negara.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata bagi tahun ini, lebih 400,000 murid mendaftar ke Tahun Satu manakala kira-kira lebih 400,000 berdaftar untuk Tingkatan Satu.
“Untuk Tahun Satu kita ada lebih 400,000, manakala Tingkatan Satu ada lebih kurang 400,000 pelajar. Jadi inilah anak-anak yang kita sambut pada tahun ini untuk Darjah Satu dan Tingkatan Satu,” katanya.

Beliau berkata dalam sidang media sempena hari pertama pembukaan sekolah bagi kalendar akademik sesi 2026 di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Ladang Regent Elmina di sini, hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh, Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor Lau Weng San serta Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Negeri Selangor Mohd Najwan Halimi.
Terdahulu, Fadhlina hadir ke SJKC Ladang Regent Elmina bagi meninjau keadaan pertama persekolahan sesi 2026.
Mengulas lanjut, Fadhlina berkata seramai 266 murid mendaftar di sekolah berkenaan, namun dijangka jumlah itu akan bertambah hingga 300 pelajar menjelang akhir bulan ini.
Tinjauan Bernama mendapati murid Tahun Satu kelihatan teruja untuk memulakan sesi persekolahan baharu, manakala kebanyakan ibu bapa hadir lebih awal untuk menghantar anak-anak.

Bagi akauntan Shirley Chei, 37, anaknya, Yeoh Zhen Yu, 7, sangat teruja menyediakan barang-barang persekolahan sejak semalam.
“Ini merupakan pengalaman pertama menghantar anak ke sekolah dan sejak semalam dia sangat seronok untuk ke sekolah selepas bercuti panjang,” katanya kepada Bernama.
Seorang lagi ibu, Hafiza Mohd Nor, 38, berkata anak perempuannya tidur awal kerana berasa gembira untuk memulakan sesi persekolahan baru.
“Sejak malam semalam dia tidur awal dan pagi ini pun dia yang paling teruja nak pergi sekolah,” katanya.
Anaknya, Nur Hanan Qisha Mohd Iskandar, 7, turut meluahkan rasa gembira sejak memulakan minggu orientasi dan bertemu rakan sekelas baharu.
-Bernama