SIBU: Penduduk di Flat Sibu Jaya dipakaikan gelang putih (tag) kuarantin oleh Kementerian Kesihatan (KKM) selepas menjalani ujian calitan pengesanan Covid-19 di ruang terbuka berhampiran Flat Sibu Jaya, semalam.
Menurut sumber dari Pejabat Kesihatan Bahagian Sibu, pemakaian gelang putih itu adalah arahan baharu daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN).
Sehubungan itu, tegasnya, mereka perlu menjalani kuarantin selama 14 hari di rumah dan tidak dibenarkan keluar rumah.
“Mereka (memakai gelang putih) perlu duduk di rumah, kecuali untuk membeli makanan iaitu hanya seorang wakil dibenarkan, iaitu pergi dan balik sahaja.
“Mereka mungkin akan dibenarkan keluar rumah selepas ujian calitan kali kedua atau selepas 14 hari mereka berasa sihat,” katanya kepada pemberita, semalam.
Pemeriksaan besar-besaran di ruang terbuka berhampiran Flat Sibu Jaya bermula 9.00 pagi hingga tengah hari diadakan kerana peningkatan kes positif Covid-19 di kawasan Sibu Jaya.
Sehingga 4 Februari, pengarah Jabatan Kesihatan Sarawak Dr. Chin Zin Hing mengatakan bahawa Sibu Jaya telah mencatatkan 141 kes kumulatif Covid-19.
Terdahulu, pemeriksaan serupa telah diadakan pada 31 Januari di pasar Sibu Jaya untuk tujuan yang sama.
Namun, tiada gelang putih dipakaikan kepada orang ramai yang telah menjalani ujian pada hari tersebut.
Sementara itu, Ketua Balai Polis Sibu Jaya Inspektor Rodua Tayo menasihati penduduk Sibu Jaya yang telah menjalani ujian calitan tersebut supaya mematuhi arahan yang telah ditetapkan oleh KKM.
“Kita akan menahan mana-mana individu yang menggunakan gelang putih yang dikesan berada di kawasan awam.
“Kita akan rujuk mereka kepada pihak kesihatan untuk tindakan lanjut sebelum dihadapkan ke mahkamah,” katanya.
Oleh NURZILLA MOHAMAD