Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • Lebih 60 peratus pelajar universiti awam wanita – Nancy
  • NASIONAL

Lebih 60 peratus pelajar universiti awam wanita – Nancy

Utusan Sarawak 15 hours ago
DATO Sri Nancy Shukri bercakap kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Ceria Kasih Yayasan Kebajikan Negara (YKN) dan sumbangan Kembali Ke Sekolah bagi sesi persekolahan 2026 di Hikmah Exchange, Kuching hari ini

KUCHING: Kejayaan Malaysia dalam memperkasa wanita melalui pendidikan tinggi terus mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa apabila lebih 60 peratus pelajar di universiti awam negara ini terdiri daripada golongan wanita.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri berkata, pencapaian itu dikongsikan Malaysia dalam Persidangan Antarabangsa Peranan Wanita dalam Masyarakat Moden: Membangunkan Kerjasama Antarabangsa untuk Pembangunan Mampan yang menghimpunkan wakil dari pelbagai negara.

Menurut beliau, penyertaan wanita Malaysia yang hampir menyeluruh dalam pendidikan rendah dan menengah, selain dominasi di peringkat universiti, mencerminkan keberkesanan dasar serta ekosistem pendidikan negara dalam menyediakan akses pendidikan yang adil dan saksama kepada wanita.

“Penyertaan wanita dalam pendidikan amat penting dan kita dapat melihat bagaimana negara lain menghargai pendekatan serta program yang dilaksanakan Malaysia.

“Ini memberi peluang kepada kita untuk berkongsi pencapaian, termasuk hakikat bahawa lebih 60 peratus pelajar universiti awam di negara ini terdiri daripada wanita,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Ceria Kasih Yayasan Kebajikan Negara (YKN) dan sumbangan Kembali ke Sekolah bagi sesi persekolahan 2026 di Hikmah Exchange di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Nancy berkata, undang-undang Malaysia yang memberi perlindungan terhadap hak dan keselamatan wanita turut dilihat sebagai antara aspek yang maju berbanding beberapa negara lain.

Beliau mendedahkan, terdapat negara yang masih belum mempunyai perundangan khusus berkaitan keganasan terhadap wanita, berbeza dengan Malaysia yang menyediakan perlindungan undang-undang serta mekanisme sokongan menyeluruh kepada mangsa.

DATO Sri Nancy Shukri bergambar bersama pelajar pada Program Ceria Kasih Yayasan Kebajikan Negara (YKN) dan sumbangan Kembali Ke Sekolah bagi sesi persekolahan 2026 di Hikmah Exchange di Kuching, hari ini.

“Malaysia mempunyai undang-undang berkaitan keganasan terhadap wanita, termasuk langkah sokongan sekiranya berlaku perceraian, akses kepada mahkamah serta program ekonomi untuk membantu wanita berdikari. Perkara ini menarik minat banyak negara untuk mengetahui lebih lanjut,” katanya.

Program Ceria Kasih Yayasan Kebajikan Negara (YKN) dan sumbangan Kembali ke Sekolah itu dianjurkan dengan kerjasama pelbagai agensi serta rakan strategik termasuk Jabatan Pendidikan Sarawak, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) serta beberapa pertubuhan bukan kerajaan dan sukarelawan.

Menerusi program berkenaan, seramai 700 penerima terdiri daripada keluarga berpendapatan rendah dan pelajar sekolah menerima pelbagai sumbangan termasuk baucar persekolahan, beg sekolah, buku, rak alat tulis serta barangan keperluan asas bagi persiapan sesi persekolahan 2026 yang akan bermula Januari depan.

Selain bantuan material, program tersebut turut diisi dengan elemen pendidikan dan kesedaran melalui penglibatan PDRM serta kaunselor bertauliah yang memberi pendedahan kepada ibubapa dan pelajar berkaitan isu semasa, keselamatan serta pencegahan buli dalam kalangan murid sekolah.

Oleh Shahrul Qaizat

Continue Reading

Previous: Jumlah mangsa banjir semakin menurun di Sarawak

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.