
BINTULU: Lebih 500 kilogram (kg) sisa makanan berjaya dielakkan daripada dilupuskan di tapak pelupusan sampah menerusi inisiatif program Sifar Sisa Makanan di sini.
Menurut kenyataan BDA, program yang dilaksanakan dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) itu menjadi langkah penting dalam usaha mengurangkan pembaziran makanan di bandar berkenaan.
Dengan penglibatan 34 pengusaha gerai di Bazar Ramadan Esplanade, inisiatif seumpama itu menumpukan kepada dua pendekatan utama dalam mengurus sisa makanan.
Pendekatan pertama adalah sumbangan makanan secara langsung, di mana lebihan makanan yang masih elok disalurkan kepada masjid serta individu yang memerlukan sebaik sahaja waktu operasi berakhir.
Setakat ini, lebih 300kg makanan yang masih boleh dimakan telah diagihkan kepada masyarakat.
Pendekatan kedua melibatkan kitar semula sisa makanan, di mana sisa yang tidak boleh dimakan diasingkan, dikumpulkan, dan dihantar ke UPMKB untuk diproses menjadi kompos serta biogas.
Sehingga kini, lebih 200kg sisa makanan telah dikitar semula, sekali gus mengurangkan jumlah yang dihantar ke tapak pelupusan sampah.
Pengurus Besar BDA, Datu Muhamad Yakup Kari dalam kenyataan itu menekanan kepentingan usaha tersebut dalam memastikan pengurusan sisa yang lebih mampan di Bintulu.
“Kami komited untuk mengurangkan pembaziran makanan di Bintulu dan memastikan sisa yang dihasilkan tidak dibuang begitu sahaja.
“Melalui pendekatan sistematik ini, kita bukan sahaja melindungi alam sekitar, tetapi juga membantu masyarakat,” katanya.
Sementara itu, Ketua Projek, Dr. Keeren Sundara Rajoo dari Institut Ekosains Borneo (IEB) UPMKB menjelaskan, sistem kompos yang digunakan dalam program tersebut dibangunkan dengan kerjasama pakar Jepun bagi memastikan ia sesuai dengan iklim Malaysia.
Berbeza dengan sistem konvensional, teknologi itu tidak memerlukan bahan tambahan pemecut kompos, menjadikannya lebih cekap dan mesra alam.
Inisiatif tersebut akan diteruskan sehingga akhir Ramadan dengan matlamat menjadikan bazar Ramadan di bawah kelolaan BDA sebagai model sifar sisa makanan sepenuhnya.
Kejayaan itu bukan sahaja mengurangkan impak sisa makanan terhadap alam sekitar, tetapi juga berpotensi menjadi rujukan bagi bandar lain dalam melaksanakan pengurusan sisa secara lestari.
Oleh Carolyne Utih