
SIBU: Lebih 5,000 peserta daripada pelbagai kaum dan peringkat umur menyertai program Zumba sempena Sambutan Perayaan Hari Sarawak 2026 di Dataran Tun Tuanku Bujang, di sini, hari ini.
Program anjuran Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan (MYSED) itu bertujuan memupuk semangat perpaduan dalam kalangan rakyat serta menggalakkan amalan gaya hidup sihat sempena sambutan Hari Sarawak.
Menteri Pengangkutan yang juga Menteri Bertanggungjawab Sambutan Perayaan Hari Sarawak 2026, Dato Sri Lee Kim Shin, hadir memeriahkan program berkenaan bersama ribuan peserta.
Selain sesi Zumba yang berlangsung hampir dua jam, program itu turut diserikan dengan cabutan bertuah yang menawarkan pelbagai hadiah, termasuk sebuah televisyen 65 inci sebagai hadiah utama.

Pada majlis sama, Lee turut merasmikan Pameran Sejarah Hari Sarawak 2026 dan Sibu Kitchen yang diadakan bersebelahan pentas utama.
Penganjuran program itu merupakan antara pengisian Sambutan Perayaan Hari Sarawak 2026 yang memberi tumpuan kepada penyertaan masyarakat, pengukuhan perpaduan dan penghayatan sejarah negeri.
Turut hadir Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Michael Tiang Ming Tee, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran) Datu Felicia Tan, Setiausaha Tetap MYSED Dzulkornain Masron, Timbalan Residen Bahagian Sibu Christopher Ranggau Unting dan ketua-ketua jabatan tempatan.
Oleh Tarani Lanting





