
PETRA JAYA: Lebih 500 warga Kuching membanjiri Masjid Demak Baru bagi menghadiri Program Ceramah Perdana Bandarayaku yang dianjurkan sempena Pesta Kuching 2025.
Ceramah bertemakan ‘Piagam Madinah Simbol Perpaduan Masyarakat Majmuk’ itu menampilkan penceramah terkenal, Ustaz Dato’ Mohd Kazim Elias, yang menyampaikan pengisian rohani dan mesej perpaduan kepada hadirin.
Program anjuran DBKU ini bertujuan memperkukuh nilai harmoni, toleransi dan kesefahaman dalam kalangan masyarakat berbilang kaum selaras dengan semangat ‘Bandaraya Untuk Semua’.
Ceramah yang bermula seawal 6.30 petang itu turut disokong oleh Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS, Baitulmal Sarawak, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta pelbagai agensi lain, sekali gus mencerminkan komitmen bersama dalam membina komuniti bandaraya yang bersatu padu dan sejahtera.
Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Datuk Bandar Kuching Utara Dato Haji Hilmy Othman dan pemimpin setempat. -UKAS