KABUL: Lebih 50 orang, kebanyakannya pemberontak bersenjata, terbunuh dalam tempoh 24 jam lalu di Afghanistan, ketika Amerika Syarikat mengeluarkan tenteranya dari negara itu.
Jurucakap Polis Wilayah, Abdul Khalil Asir, berkata dalam gelombang keganasan terbaru itu, militan Taliban menyerang pusat pemeriksaan keselamatan di luar kota Taluqan, ibu kota wilayah utara Takhar semalam.
“Ia menyebabkan empat militan pro-kerajaan terbunuh lima yang lain cedera,” katanya.
Komander Militan Pro-Kerajaan, Mohammad Ismael, berkata pasukan pengaman pula melancarkan serangan balas di Daerah Imam Sahib berdekatan wilayah Kunduz.
“Di sini, dua pemberontak mati manakala empat berjaya ditahan,” katanya kepada agensi berita Xinhua.
Presiden AS, Joe Biden, Rabu lalu mengumumkan mahu mengundurkan tentera AS dari Afghanistan mulai 1 Mei ini dan prosesnya dijangka selesai September nanti.
Menurut kenyataan Kementerian Pertahanan Afghanistan, pertempuran itu menyasarkan kumpulan militan Taliban di daerah Khashrod di wilayah barat Nimroz, membunuh 22 pengganas Jumaat lalu.
Susulan serangan udara itu, Unit Pasukan Khas menyerbu sebuah pusat tahanan Taliban di daerah Khashrod yang bergolak dan menyelamatkan 20 anggota keselamatan
Ini termasuk 17 askar tentera dan tiga anggota polis, menurut kenyataan tentera yang dikeluarkan semalam.
Sumber tentera memberitahu lebih 20 militan terkorban ketika pasukan tentera darat yang disokong oleh kapal tempur helikopter menyerang tempat persembunyian Taliban di daerah Qarabagh di wilayah timur Ghazni dalam tempoh 24 jam lalu.
Menurut pegawai keselamatan, empat militan terbunuh di daerah Balkh dan tiga anggota polis terkorban dalam letupan bom kereta di wilayah barat Herat Jumaat lalu.
Jurucakap Kementerian Pertahanan, Rohullah Ahmadzai, menuduh Taliban meningkatkan keganasan menyebabkan serangan terhadap pasukan keselamatan, yang menyaksikan tentera kerajaan berjaya menggagalkan cubaan pemberontak.
Sementara itu, jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid, yang menghubungi media, menggesa AS meninggalkan Afghanistan pada 1 Mei seperti yang dipersetujui dalam perjanjian damai Doha ditandatangani pada Februari tahun lalu.
Taliban turut mengingatkan dan memberi amaran bahawa kegagalan mematuhi perjanjian itu hanya akan menyulitkan keadaan.-AFP