
KUALA LUMPUR: Seramai 403,618 orang guru telah menjalani pengesanan tahap kompetensi digital setakat 31 Disember 2024, kata Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh.
Beliau berkata berdasarkan keputusan yang diperoleh, kementerian mendapati bahawa 23.9 peratus guru berada pada tahap kompetensi digital asas, manakala 74.3 peratus lagi berada pada tahap pertengahan, dan hanya 1.8 peratus pada tahap lanjutan.
“Latihan berkaitan pendidikan digital telah diberikan secara berterusan kepada guru. Sehingga 31 Dis 2024, seramai 1,410 guru telah memperoleh pensijilan profesional dan diiktiraf sebagai Pasukan Pakar JAUHARI KPM,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara, hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Senator Amir Md Ghazali mengenai tahap kompetensi digital guru-guru dan langkah kementerian dalam memastikan kemahiran digital guru terus diperkasa.
Menurut Wong, kerjasama strategik dengan rakan industri seperti Microsoft, Google, dan Apple turut memberi tumpuan kepada kepakaran digital, dengan penyediaan latihan khusus bagi meningkatkan kemahiran guru. – Bernama