
KUCHING: Lebih 400 anugerah disampaikan dalam malam penuh gemilang sempena Majlis Penyampaian Anugerah Pertandingan Kreativiti dan Inovasi Antarabangsa Borneo (BICC) 2025 yang berlangsung di Kuching, menghimpunkan ratusan peserta dari dalam dan luar negara termasuk Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Bangladesh.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr Annuar Rapaee memuji kejayaan penganjur Pertubuhan Saintis Muda Malaysia (MYSO) kerana berjaya menganjurkan majlis berskala besar itu buat julung kalinya di Pulau Borneo.
“Saya ucapkan tahniah kepada pihak sekolah dan Pertubuhan Aspirasi Guru Sarawak (PAGS) kerana berjaya menganjurkan acara sebesar ini.
“Ia bukan satu tugas mudah, bukan hanya dari aspek kewangan tetapi juga memastikan acara ini memberi makna dan pengalaman berharga kepada semua peserta,” katanya ketiga berucap di Majlis Penyampaian Anugerah BICC 2025 malam ini.
Beliau menyifatkan penganjuran tersebut sebagai pencapaian penting dalam meletakkan Sarawak sebagai hab inovasi serantau.
Dalam ucpannya, beliau juga menekankan bahawa inovasi bukan sekadar untuk bersaing dan memenangi pertandingan, sebaliknya perlu menjurus kepada manfaat sebenar kepada masyarakat sejagat.

Sementara itu, beliau turut menggesa agar peserta meneroka nilai komersial dalam setiap ciptaan mereka agar dapat dikembangkan sebagai produk yang mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Menurut beliau, penguasaan dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) adalah kunci utama dalam membina masa depan negara yang mampan dan berdaya saing.
“Kita perlu ada pengetahuan yang kukuh dalam STEM sebelum dapat mencetuskan idea baharu. Ilmu adalah akar kepada inovasi,” tegasnya.
Beliau turut menekankan pentingnya inovasi yang dihasilkan mampu dikomersialkan agar tidak sekadar menjadi hasil ciptaan yang dipamer tetapi mampu memberikan pulangan dan menaik taraf sosioekonomi rakyat.
Beliau mencadangkan agar institusi pendidikan tinggi di Malaysia mewujudkan ekosistem keusahawanan inovatif supaya idea pelajar dapat diperkasa menjadi produk pasaran.
Majlis anugerah tersebut bukan sahaja menjadi platform untuk menghargai bakat dan kreativiti, malah membuka ruang kepada kerjasama dan perkongsian idea antara generasi muda dari pelbagai negara.
Oleh Adele Rissa