KUCHING: Program larian amal ’Blessed Run 2024’ anjuran Sarawak Blessed Church mendapat sokongan padu apabila lebih 3,000 peserta dari sekitar Kuching menyertai acara itu, hari ini.
Menurut Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, acara itu juga amat bermakna kerana ia bertepatan dengan sambutan Hari Kebangsaan ke-67.
Ujarnya, beliau juga menzahirkan rasa bangga dan gembira kerana acara itu majoritinya disertai oleh golongan belia.
”Saya dapat melihat mereka (Sarawak Blessed Church) telah melakukan Kerja yang sangat baik kerana berjaya mengumpul dan menyatukan golongan belia dalam satu acara seperti ini.
”Usaha seperti ini amat penting dalam memastikan golongan belia di negeri ini sentiasa dibimbing dengan baik sekali gus menggalakkan aktiviti sihat dan aktif dalam kalangan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan upacara pelepasan peserta larian amal itu di pekarangan gereja di sini, hari ini.
Tambah Karim, acara sedemikian juga memberi impak yang besar dalam membentuk belia sekali gus mengurangkan penglibatan golongan itu dalam aktiviti yang tidak sihat dan menghancurkan masa hadapan mereka.
”Justeru, semua pihak perlu menyedari dan memainkan peranan mereka dalam membimbing generasi muda untuk mengelakkan mereka terjerumus ke dalam isu sosial seperti penagihan dadah,” tambahnya.
Acara larian amal yang julung kalinya dianjurkan oleh gereja tersebut adalah bertujuan mengumpul dana untuk pembinaan berterusan bangunan gereja yang menggunakan kos lebih RM70 juta.
Turut hadir, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) Dato Wee Hong Seng, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang Dato Lo Khere Chiang, Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP) Tan Kai dan Timbalan Residen Bahagian Samarahan Raus Ahmat.