Lebih 2,600 penduduk Miri manfaat Program MyLesen B2

Facebook
WhatsApp
BINCANG...Ahli Parlimen Miri Chiew Choon Man mengadakan pertemuan bersama pegawai Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Ibu Pejabat bagi mendapatkan maklumat lanjut serta perkembangan terkini Program MyLesen B2.

MIRI: Lebih 2,600 penduduk di kawasan Parlimen Miri mendapat manfaat Program MyLesen B2 sejak diperkenalkan pada 2024 hingga 2026, sekali gus membantu golongan muda dan komuniti B40 mendapatkan lesen motosikal pada kos lebih rendah.

Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man berkata, program berkenaan merupakan inisiatif Kerajaan Persekutuan bagi mengurangkan kos mendapatkan lesen motosikal Kelas B2, selain menggalakkan lebih ramai rakyat menjalani proses pembelajaran dan ujian secara sah.

Menurutnya, program itu turut memberi peluang kepada golongan muda dan B40 meningkatkan mobiliti serta akses kepada peluang pekerjaan.

“Sejak 2024, saya konsisten menganjurkan Program MyLesen B2 bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Cawangan Miri bagi memastikan penduduk Miri mendapat manfaat daripada inisiatif ini.

“Setiap tahun, kita menerima ratusan peserta dan ini menunjukkan kesan positif program berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Chiew berkata, beliau baru-baru ini turut mengadakan pertemuan dengan pegawai Kementerian Pengangkutan dan ibu pejabat JPJ bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai pelaksanaan Program MyLesen B2.

Katanya, beliau dimaklumkan bahawa Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Pengangkutan Malaysia komited meneruskan program itu pada tahun-tahun akan datang.

Sementara itu, program pendaftaran Bantuan Lesen Memandu (BLM) MyLesen Motosikal Kelas B2 yang dianjurkan di Permy Jaya baru-baru ini menerima penyertaan lebih 500 peserta.

Melalui program itu, peserta berpeluang menjalani proses mendapatkan lesen motosikal B2 pada kadar disokong kerajaan sebanyak RM250.

Chiew berkata, kos yang lebih rendah dapat menggalakkan orang ramai mendapatkan lesen melalui saluran yang betul, selain mengikuti latihan serta mempelajari amalan keselamatan jalan raya yang sewajarnya.

“Memiliki lesen bukan sekadar soal mobiliti, tetapi turut membuka akses kepada pekerjaan, peluang perniagaan dan perkhidmatan.

“Bagi golongan muda yang bergantung kepada motosikal sebagai pengangkutan harian, lesen yang sah memudahkan mereka bergerak ke tempat kerja dan mendapatkan peluang pekerjaan yang lebih baik,” katanya.

Beliau pada masa sama menegaskan kepentingan latihan menunggang yang betul bagi memastikan penunggang memahami peraturan lalu lintas dan aspek keselamatan jalan raya.

“Sebagai Ahli Parlimen Miri, saya komited memastikan program ini terus dilaksanakan di Miri demi manfaat penduduk.

“Saya juga menghargai komitmen Kerajaan Persekutuan dalam meningkatkan keselamatan jalan raya dan menyeru semua rakyat supaya mengambil serius aspek keselamatan ketika berada di jalan raya,” katanya.

Oleh Liong Chai Ling