
NEW DELHI: Pihak berkuasa di negeri Chhattisgarh, tengah India, pada Rabu melupuskan lebih 22,000 unggas susulan penularan wabak Avian Influenza (selesema burung), menurut pegawai, lapor Xinhua.
Wabak itu melanda kawasan Koni di Daerah Bilaspur, kira-kira 128 kilometer di utara Raipur, ibu negeri Chhattisgarh.
Menurut pegawai, kira-kira 4,744 ekor ayam daripada 5,037 yang diternak di sebuah ladang ternakan milik kerajaan mati, mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk daerah itu dan kawasan sekitarnya, sekali gus mendorong pihak berkuasa mengambil langkah bagi mencegah penularan virus.
Sampel bangkai ayam yang diuji mengesahkan kehadiran strain H5N1.
Jabatan kesihatan turut diarahkan memantau kesihatan penduduk tempatan serta menjalankan pemeriksaan yang diperlukan.
Menurut pegawai, sampel semua pekerja di ladang ternakan milik kerajaan itu diuji dan didapati negatif.
Selesema burung ialah penyakit pernafasan yang amat berjangkit dalam kalangan unggas, disebabkan oleh virus H5N1 dan dalam kes tertentu boleh menjangkiti manusia.- Bernama-Xinhua