POKOK TUMBANG… Seorang lelaki menunggang motosikal melintas pokok tumbang selepas dibadai Taufan Noru di Danang, Vietnam. • Foto AFP
DANANG: Taufan Noru melanda pantai tengah Vietnam awal pagi semalam, kata peramal negara, membawa angin kencang dan hujan lebat ketika ratusan ribu penduduk berlindung di tempat perlindungan.
Di Danang, bandar ketiga terbesar di Vietnam, bangunan tinggi bergegar dalam tiupan kuat yang menumbangkan pokok dan memusnahkan bumbung rumah di seluruh wilayah tengah selain bekalan elektrik terputus berskala besar turut dilaporkan.
“Kedudukan pusat taufan pada 4.00 pagi (2100 GMT Selasa) pada 28 September adalah antara Danang dan Quang Nam,” kata Pusat Ramalan Hidrometeorologi Kebangsaan, menambah kelajuan angin antara 103 dan 117 kilometer sejam.
Lebih 200,000 penduduk berlindung di tempat perlindungan semalaman, selepas peramal meramalkan ribut itu akan menjadi salah satu yang terbesar melanda negara itu.
Kelajuan angin lebih perlahan daripada yang dikhuatiri pada awalnya, tetapi peramal berkata, hujan lebat akan berterusan dan mengeluarkan amaran tentang tanah runtuh dan banjir yang serius.
Menurut media kerajaan, Kementerian Pertahanan menggerakkan sekitar 40,000 askar dan 200,000 anggota tentera, dilengkapi dengan kenderaan berperisai dan bot sebagai persediaan untuk operasi menyelamat dan bantuan.
Hampir separuh daripada Lapangan Terbang Vietnam ditutup, sekolah dan pejabat di beberapa wilayah tengah, termasuk di Danang ditutup dan penduduk bergegas balik rumah masing-masing untuk berlindung pada Selasa lalu.
Bahagian tengah lebuh raya yang menghubungkan Hanoi di utara dengan hab komersial Ho Chi Minh City di selatan juga ditutup selepas Taufan Super Noru turut melanda Filipina awal minggu ini dan mengorbankan enam orang.
Pihak berkuasa berkata, mereka memindahkan hampir 260,000 orang dari rumah mereka, termasuk di bandar pelancongan popular Hoi An yang mana penduduk dibawa ke sebuah sekolah rendah.
Sekitar 300 rumah di wilayah pesisir pantai Quang Tri atapnya diterbangkan lewat Selasa apabila angin mula bertambah laju.
Sementara itu, pokok tumbang akibat angin kencang di Hue, manakala di Danang semua kedai dan hotel ditutup serta penduduk dilarang keluar di jalanan.
Noru melanda pulau Luzon Filipina pada Ahad dan Isnin lalu menumbangkan pokok, memadamkan bekalan elektrik dan membanjiri kawasan rumah penduduk di kawasan yang rendah.
Lima anggota penyelamat terbunuh selepas dihantar membantu penduduk banjir, manakala seorang lagi maut selepas ditimpa tanah runtuh. Pegawai menganggarkan kira-kira AS$2.4 juta (RM 11.1 juta) nilai tanaman telah rosak akibat Taufan Noru -AFP