
SIBU: Lebih 2,000 penduduk sekitar Sibu menyertai program tahunan Gotong-Royong Bersih Kubur di Tanah Perkuburan Al-Qadim di sini, pagi tadi.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Dr. Annuar Rapa’ee berkata, penglibatan luar biasa masyarakat itu membuktikan semangat kerjasama yang tinggi dalam memelihara tapak perkuburan tertua di bandar ini.
“Saya amat berpuas hati dengan kehadiran yang amat menggalakkan pagi ini, ditambah pula dengan faktor cuaca yang cukup baik.
“Terima kasih kepada semua jabatan kerajaan, agensi serta badan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat, termasuk para penderma yang telah menyumbang kepada jawatankuasa bagi memastikan kelancaran program ini,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi program.
Program berkenaan merupakan anjuran bersama oleh Pejabat Residen Bahagian Sibu, Jawatankuasa Perayaan Islam Sibu dan Lembaga Amanah Kebajikan Islam Sibu (LAKIS).
Dr Annuar berkata, walaupun tanah perkuburan itu tidak lagi digunakan untuk pengebumian baharu, kawasan berkenaan tetap menjadi keutamaan untuk dijaga secara berkala oleh pihak LAKIS.


Dalam pada itu, beliau mencadangkan pelaksanaan program infak penanaman pokok bagi mengindahkan lagi landskap kawasan tersebut yang akan diterajui oleh Jawatankuasa Masjid Al-Qadim.
“Mereka akan mengenal pasti lokasi sesuai untuk menanam spesies pokok Bucida yang mampu memberikan teduhan.
“Langkah ini bukan sahaja akan menjadikan kawasan perkuburan lebih redup, malah kelihatan lebih indah dan tenang,” katanya.
Beliau turut memberi jaminan bahawa aspek kebersihan kawasan itu sentiasa dipantau walaupun program gotong-royong melibatkan orang awam diadakan setahun sekali.
Menurutnya, petugas LAKIS menjalankan kerja penyelenggaraan rutin bagi memastikan setiap sudut tanah perkuburan berkenaan sentiasa berada dalam keadaan bersih dan terjaga.
Oleh Tarani Lanting