
KUCHING: Lebih 2,000 anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Sarawak kini dikerahkan ke seluruh kawasan berisiko bagi menghadapi kemungkinan banjir susulan hujan berterusan dan cuaca yang tidak menentu.
Menurut kenyataan APM Sarawak, langkah ini menandakan negeri ini memasuki fasa kesiapsiagaan penuh.
“APM bekerjasama rapat dengan Bomba, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) untuk memantau paras air sungai serta situasi cuaca di kawasan titik panas termasuk Kuching, Samarahan, Serian, Bintulu dan Miri,” katanya dalam satu kenyataan.
Pusat pemindahan sementara (PPS) juga diperiksa rapi bagi memastikan kelengkapan seperti makanan, tilam, bekalan elektrik dan kemudahan asas lain berada dalam keadaan mencukupi untuk menampung penduduk yang terjejas.

Kerajaan negeri telah menasihatkan penduduk di kawasan rendah agar sentiasa peka terhadap arahan pihak berkuasa dan segera berpindah jika diarahkan, bagi mengelakkan risiko keselamatan yang tidak diingini.
Penggerakan awal aset dan kekuatan anggota, Sarawak kini bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan limpahan air dan kejadian banjir dalam beberapa hari mendatang.
APM Sarawak turut menasihatkan orang ramai agar mengelak aktiviti berhampiran sungai, tidak meredah banjir serta mengutamakan keselamatan keluarga khususnya warga emas dan kanak-kanak.
“Kerjasama masyarakat amat penting bagi memastikan operasi penyelamatan dan pemindahan berjalan lancar sekali gus mengurangkan risiko kehilangan nyawa akibat banjir,” katanya.
Oleh Adi Safarman