
KUCHING: Lebih daripada 200 jambatan dan laluan telah dikenalpasti perlu dibaiki atau diganti di seluruh Sarawak.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) sedang dalam proses mengenal pasti jambatan-jambatan tersebut, bukan sahaja di Baram tetapi juga di kawasan lain seperti Kakus, Skrang, Pelagus dan Murum.
“Kita telah mendapati kurang lebih 200 jambatan atau laluan yang perlu kita baiki ataupun bina semula.
“Sekarang ini, sebanyak 19 jambatan telah ditender dan 10 lagi akan ditender di mana projek ini dilaksana di bawah program oleh Jabatan Kerja Raya Sarawak dan Kementerian Infrastruktur Dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak (MIPD) dan kita akan meneruskannya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas majlis Penyerahan Jambatan Keluli Bermodular dan Pelancaran Vehicle Yard Pelabuhan Senari kepada Lembaga Pelabuhan Kuching di Pelabuhan Senari, hari ini.
Tambahnya, pengenalpastian ini dilaksanakan setelah perjalanan pihaknya dari Miri ke Bario yang mengambil masa 15 jam bagi melihat keadaan jambatan di sana yang dibina sementara oleh syarikat balak dahulu yang kini sudah tidak kukuh.
Jelasnya, kerajaan negeri juga telah membuat keputusan untuk mengambil alih jalan balak untuk ditukar menjadi jalan negeri, serta mengambil alih bekas jalan balak untuk ditukar menjadi jalan negeri termasuk mengambil alih jalan balak aktif
“Dengan menukar jalan ini menjadi jalan negeri, kita dapat mencari cara untuk melaksanakan penyelenggaraan dengan baik. Ini adalah cabaran besar dan juga merupakan aspek penyelenggaraan terakhir yang perlu kita tangani,” katanya.
Pada majlis tersebut, pihak Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah menyerahkan dua jambatan keluli bermodular kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak.
Difahamkan, jambatan ini akan diletakkan di Sungai Pelutan, Long Jek dan Sungai Bunau, Jalan Kebangan dengan kedua-dua kawasan di Baram.
Selain itu, turut dilancarkan adalah ‘Vehicle Yard’ yang dilaksanakan oleh JKR dengan keluasan 14.64 hektar dan kos pembangunan berjumlah RM70 juta.
Ia bagi menyokong peningkatan jumlah kapal jenis RoRo dan kargo umum ke Pelabuhan Kuching berikutan kekangan navigasi kapal dengan siapnya Jambatan Sejingkat nanti.
Turut hadir Timbalan-Timbalan Menteri MIPD Datuk Ir Aidel Lariwoo dan Dato Majang Renggi, Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen Dan Adat Bumiputera) Datuk Gerawat Gala, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu yang juga Pengerusi Lembaga Pelabuhan Kuching Azizul Annuar Adenan.
Hadir sama Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) Dato Sri Dr Muhammad Abdullah Zaidel, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran) Datu Buckland Bangik serta tetamu kehormat lain. -UKAS