
DARO: Lebih 200 ibu bapa hadir menyertai bengkel keibubapaan Tabika/Taska KEMAS Daro, yang berlangsung dengan penuh semangat dan komitmen daripada komuniti setempat di sini.
Bengkel anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) ini merupakan sebahagian daripada inisiatif berterusan untuk memperkasakan peranan ibu bapa sebagai pendidik utama dalam kehidupan awal anak-anak.
Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi, ketika merasmikan program pada Ahad lalu, menekankan kepentingan pendidikan awal yang bermula di rumah sebagai asas pembentukan sahsiah dan masa depan anak-anak.
“Rumahku Syurgaku bukan sekadar ungkapan, tetapi prinsip yang perlu diterapkan dalam kehidupan seharian.
Jika rumah menjadi tempat yang selamat dan penuh kasih sayang, anak-anak akan membesar dalam suasana yang positif dari segi mental, emosi dan sosial,” katanya.
Menurut beliau, tanggungjawab mendidik anak-anak tidak seharusnya diletakkan sepenuhnya kepada guru atau institusi pendidikan, sebaliknya memerlukan kerjasama erat antara ibu bapa, pendidik dan komuniti.
“Saya percaya, dengan kolaborasi semua pihak, kita dapat melahirkan generasi yang bukan sahaja berilmu dan berakhlak mulia, malah celik digital dan berjiwa besar,” tambahnya.
Ahmad Johnie turut memuji usaha KEMAS dalam menganjurkan bengkel seumpama ini kerana ia menyentuh aspek asas yang kritikal dalam pembangunan modal insan masa hadapan.
Dalam pada itu, beliau menggalakkan ibu bapa agar mendaftarkan anak-anak ke Tabika dan Taska KEMAS, yang menyediakan asas pendidikan awal secara terancang, berkualiti dan holistik. -UKAS