
SIBU: Lebih 20 individu menjadi mangsa penipuan projek binaan rumah melibatkan sebuah syarikat kontraktor dengan anggaran kerugian mencecah RM1.8 juta.
Pengerusi Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) Cawangan Sibu, Lucas Lau, berkata pihaknya menerima aduan daripada sekumpulan pengadu mengenai syarikat kontraktor berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada September 2022 yang dipercayai menipu pelanggan dengan menawarkan perkhidmatan binaan rumah dan ubah suai.
“Kami menerima aduan pada 4 Januari lalu sekitar 2.30 petang mengenai syarikat ini yang menjalankan taktik penipuan melalui iklan di Facebook dan promosi di pelbagai acara pameran serta ekspo di sekitar Zon Tengah.
“Mereka turut menggunakan ejen untuk mencari pelanggan dan aktif dalam tempoh Disember 2022 hingga November 2023,” katanya pada sidang media, hari ini.
Menurut Lau, syarikat terbabit menawarkan pelbagai reka bentuk rumah dengan slogan “Bina Rumah di Tanah Sendiri” yang meyakinkan pelanggan.
“Mangsa diminta membuat bayaran pendahuluan dengan janji pembayaran selebihnya dibuat secara berperingkat mengikut kadar kemajuan binaan.
“Bagaimanapun, selepas menerima bayaran pertama, kebanyakan projek hanya siap lima hingga 10 peratus sebelum terbengkalai sepenuhnya,” tambahnya.
Penipuan ini, katanya, melibatkan mangsa dari pelbagai daerah termasuk Bintulu, Betong, Sarikei, Sibu, Kanowit, Selangau, Mukah, Dalat, Matu, Daro serta terbaharu dari Sri Aman dan Miri.
Berdasarkan maklumat mangsa, jelasnya, nilai projek yang terlibat dianggarkan melebihi RM2.2 juta dengan kerugian sekitar RM1.8 juta termasuk bayaran pendahuluan yang dibuat tanpa sebarang kerja dilakukan.
Lau menegaskan bahawa MTPN telah melakukan lawatan ke pejabat syarikat berkenaan namun mendapati ia telah lama ditutup, dan usaha menghubungi pihak kontraktor juga tidak berjaya, malah laman Facebook syarikat itu turut dipadam.
Sehubungan itu, Lau menyarankan mangsa tampil membuat laporan polis dan berharap pihak berwajib menjalankan siasatan segera.
“Kami juga menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati memilih kontraktor dengan memastikan mereka benar-benar berdaftar dan mempunyai rekod kerja yang baik.
“Antara langkah yang boleh diambil termasuk menyelidik latar belakang syarikat, mendapatkan perjanjian bertulis serta mendapatkan nasihat peguam sebelum membuat sebarang pembayaran,” katanya.
Lau turut mengingatkan masyarakat bahawa penipuan seperti ini sering berlaku dan menyeru semua pihak untuk lebih proaktif dalam memantau serta menilai kontraktor yang beroperasi di kawasan mereka bagi mengelakkan kejadian seumpama berulang.
Oleh Tarani Lanting