
KUALA LUMPUR: Sebanyak 173,224 akaun keldai dikenal pasti antara 2022 hingga Julai 2025, susulan peningkatan kes jenayah penipuan dalam talian yang semakin membimbangkan di negara ini.
Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata kementerian melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM) memperkukuh tindakan penguatkuasaan dan pemantauan akaun keldai melalui kerjasama strategik bersama agensi penguatkuasaan, institusi kewangan dan pihak berkepentingan lain dengan matlamat memastikan penjenayah dibawa ke muka pengadilan.
“… (selain itu untuk) menghalang aktiviti jenayah daripada berulang serta meningkatkan kesedaran dan keyakinan rakyat untuk bersama dengan pihak berkuasa,” katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.
Shamsul Anuar menjawab soalan Senator Norhasmimi Abdul Ghani yang ingin mengetahui langkah kerajaan menangani sindiket akaun keldai yang semakin meningkat serta insentif khusus atau bentuk perlindungan disediakan kepada pemberi maklumat yang membantu membongkar sindiket penipuan.
Beliau bagaimanapun memaklumkan kementerian berpandangan bahawa belum ada keperluan untuk memperkenalkan insentif khusus kepada pemberi maklumat selain akan terus meneliti dan mengkaji keperluan itu dari semasa ke semasa.
Menurut Shamsul Anuar, sebanyak 11,753 aktiviti pencegahan jenayah siber melalui pameran dan ceramah direkodkan sehingga 31 Julai lepas dalam usaha menangani isu berkenaan serta memberi kesedaran kepada rakyat.
Dalam perkembangan lain, Shamsul Anuar berkata 278 kes jenayah bersenjata direkodkan di bawah Seksyen 8A Akta Senjata 1960 bagi tahun 2025 setakat ini, menunjukkan peningkatan berbanding 161 kes pada 2023.
Beliau berkata daripada jumlah itu, 133 kes didakwa manakala 73 lagi masih dalam siasatan.
“Peningkatan ini menunjukkan keperluan mendesak untuk memperkukuhkan undang-undang dan melaksanakan pendakwaan lebih tegas terhadap individu atau kumpulan yang terlibat,” katanya.
Beliau menjawab soalan Senator Datuk Anna Bell @ Suzieana Perian yang ingin tahu strategi pihak berkuasa di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk mengawal dan membanteras penyeludupan senjata api ke negara ini.
Sehubungan itu, Shamsul Anuar berkata KDN sedang merangka sebuah Pelan Induk Kawalan Sempadan lebih komprehensif melibatkan kerjasama strategik antara semua agensi keselamatan yang beroperasi di sempadan.
Beliau berkata pelan itu akan dilaksanakan berdasarkan dua fokus strategik iaitu memperkukuh operasi kawalan keselamatan sempadan negara serta mempertingkatkan kapasiti kawalan sempadan menerusi pembangunan strategik dan latihan bersama agensi terlibat.– Bernama