

SARIKEI: Komitmen berterusan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang, Datuk Len Talif Salleh terhadap bidang pendidikan terserlah apabila lebih 1,500 murid menerima manfaat menerusi program kembali ke sekolah yang kini memasuki edisi ke-15.
Program tersebut merupakan inisiatif konsisten beliau sejak mula diberi amanah sebagai wakil rakyat, dengan fokus utama membantu murid daripada keluarga kurang berkemampuan membuat persediaan menghadapi sesi persekolahan baharu.
“Program ini menjadi sebahagian daripada komitmen saya kepada masyarakat Kuala Rajang sejak hari pertama diberi amanah sebagai wakil rakyat.
“Ia bukan sekadar menyediakan bantuan keperluan asas persekolahan, malah bertujuan menyuntik semangat serta meningkatkan keyakinan murid agar lebih bersedia menghadapi proses pembelajaran,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Program tersebut merupakan anjuran Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (Saberkas) dengan kerjasama Pusat Khidmat DUN Kuala Rajang sebagai usaha bersepadu memperkasa komuniti setempat.
Tambahnya, penentuan penerima bantuan dibuat berdasarkan maklumat yang disalurkan oleh pihak sekolah, khususnya guru dan guru besar, bagi memastikan sumbangan sampai kepada murid yang benar-benar memerlukan.
“Pelaksanaan program dijalankan secara berperingkat mengikut zon bagi memastikan penyampaian bantuan berlangsung dengan teratur dan menyeluruh di seluruh kawasan DUN Kuala Rajang.
“Bagi Zon Sarikei, program melibatkan kawasan Selalang, manakala Zon Tanjung Manis merangkumi Stalun, Pulau Rajang, Belawai, Tanjung Manis, Bukit Pelandok, Jerijeh dan Sebayang,” katanya.
Katanya, pendekatan berperingkat tersebut memudahkan urusan penyelarasan di lapangan, selain membolehkan pihak penganjur memberi tumpuan lebih berkesan terhadap keperluan setempat.
Sehubungan itu, Len Talif berharap sumbangan yang disalurkan dapat menjadi pemangkin kepada murid untuk terus berusaha gigih dalam pelajaran demi membina masa depan yang lebih cerah.
“Pendidikan adalah asas kepada pembangunan masyarakat. Melalui program seperti ini, kita bukan sahaja membantu dari segi material, tetapi turut menyemai nilai motivasi dan keyakinan diri dalam kalangan murid.
“Kesinambungan penganjuran program ini mencerminkan keprihatinan jangka panjang terhadap pembangunan sosioekonomi masyarakat setempat melalui pelaburan berterusan dalam bidang pendidikan,” katanya lagi.
Oleh Earl Anek