
SIBU: Ahli Parlimen Sri Aman, Dato Sri Doris Sophia Brodie, memuji inisiatif Persatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU) Sibu dan Sarakup Indu Dayak Sarawak (SIDS) Sibu yang aktif menganjurkan pelbagai program pembangunan komuniti.
Usaha berterusan ini, katanya, memainkan peranan penting dalam memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan masyarakat Dayak.
Menurut beliau, kejayaan pelaksanaan program oleh kedua-dua pertubuhan itu mencerminkan semangat kebersamaan dan komitmen tinggi dalam memperkasakan komuniti.
“Memetik kata-kata yang dikongsi malam ini, ‘berserakup kitai mansang, begempung kitai senang, segulai sejalai’ (Bersatu kita maju, bersama kita sejahtera, berjalan seiringan). Namun saya ingin menambah, ‘bersatu ngagai pemansang’ (bersatu menuju pembangunan),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Pra-Gawai Dayak anjuran bersama SIDS Sibu, SDNU Sibu, Persatuan Kebangsaan Orang Ulu (OUNA) dan Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) di sini, malam tadi.
Majlis makan malam tahunan itu menghimpunkan lebih 1,500 peserta dalam suasana penuh muhibah dan warna-warni kebudayaan.
Tambah Doris, program seperti ini membuktikan bahawa kerjasama antara pelbagai pertubuhan mampu menghasilkan impak besar jika dijalankan secara kolektif.
“Sambutan malam ini adalah contoh baik bagaimana empat pertubuhan boleh bergabung tenaga menganjurkan acara yang meriah dan bermakna,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan pentingnya memelihara perpaduan dalam mana-mana organisasi agar tidak terjerumus dalam konflik dalaman yang boleh menghalang kemajuan.
“Jika kita bertelagah sesama sendiri, kita akan hilang fokus terhadap pembangunan pertubuhan. Kita akan ketinggalan, sedangkan mereka yang bersatu akan terus ke hadapan,” katanya.
Mengulas mengenai sambutan Gawai, beliau menegaskan bahawa Gawai bukan sekadar perayaan, tetapi juga penghargaan terhadap hasil tuaian dan usaha sepanjang tahun.
“Ia adalah simbol kepada kerja keras dan keberkatan. Maka, kita harus bersyukur serta sentiasa mengingati makna sebenar sambutan ini,” jelasnya.
Oleh Tarani Lanting