
SEBUYAU: Seramai lebih 150 peserta terdiri daripada penduduk tempatan, ahli jawatankuasa masjid, golongan belia dan masyarakat sekitar telah menghadiri Program At-Tibyan anjuran Jabatan Mufti Sarawak yang berlangsung di Masjid Darul Aman Sebangan di sini, semalam.
Program yang dianjurkan dengan kerjasama Jawatankuasa Pengurusan Masjid Darul Aman Sebangan dan Pejabat Agama Islam Bahagian Samarahan itu bertujuan untuk mengukuhkan silaturahim antara Jabatan Mufti Sarawak dan masyarakat setempat.
Selain itu, program ini juga menjadi platform untuk menyampaikan maklumat serta meningkatkan kesedaran umat Islam dalam menghayati ajaran agama, khususnya dalam aspek aqidah, ibadah dan akhlak.
Pada majlis tersebut, Pengarah Jabatan Mufti Sarawak, Ahmad Sukarno Saini turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM1,500 kepada Jawatankuasa Pengurusan Masjid Darul Aman Sebangan sebagai sokongan terhadap aktiviti dakwah dan pengimarahan masjid.
Turut hadir Pegawai Agama Islam Bahagian (JAIS) Bahagian Samarahan Bahrin Kawi, Pengerusi Masjid Darul Aman Sebangan Yaman Madian, ahli jawatankuasa masjid dan penduduk tempatan. -UKAS