


MERIAH.…Antara pengunjung yang hadir.
SARIKEI: Semangat patriotik membara dan perpaduan rakyat pelbagai kaum terserlah apabila lebih 10,000 pengunjung membanjiri Kompleks Sukan Integrasi, Kampung Baru Seberang di sini malam tadi sempena Konsert Ambang Hari Kebangsaan Peringkat Sarawak 2025.
Konsert gilang-gemilang itu bukan sahaja mengumpulkan warga Sarikei, malah turut menarik kehadiran pengunjung dari Tanjung Manis, Belawai, Sibu, Matu, Daro, Mukah, Bintangor, Julau, Pakan dan Kanowit, membuktikan sambutan ini benar-benar milik seluruh rakyat.
Tinjauan Utusan Sarawak seawal 5.00 petang, padang konsert mula dipenuhi pengunjung yang mahu mendapatkan lokasi terbaik untuk menyaksikan persembahan artis-artis kegemaran mereka. Dengan tema ‘Malaysia Madani, Rakyat Disantuni,’ suasana padang bertukar meriah apabila konsert bermula sekitar 8.00 malam.



PERSEMBAHAN MEMUKAU…..Antara artis-artis yang membuat persembahan memukau.
Barisan artis popular tanah air dan artis tempatan seperti Nai Dinamik, Bob Yusof, Syura, Agura Band, Firdaus Materang, Carrie Geres, Anthony Usan, Raquel dan Djaksa Band menggamatkan pentas dengan lagu-lagu hits serta dendangan patriotik yang menyemarakkan semangat cintakan negara.
Antara detik paling mencuri tumpuan ialah ketika Syura menyanyi bersama peminat di padang, mencetuskan suasana penuh emosional dan kebanggaan.



Konsert ditutup dengan persembahan bunga api yang memukau serta tarian poco-poco yang disertai oleh semua artis, pengunjung dan para tetamu kehormat.

Turut hadir Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Sarawak 2025, Dato Sri Fatimah Abdullah, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak), Datuk Abdullah Saidol, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh serta Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datoʼ Sri Huang Tiong Sii.
Hadir sama Ahli Parlimen Tanjong Manis, Yusuf Abd Wahab, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing dan Residen Sarikei, Datu Michael Ronnie Langgong.
Oleh Earl Anek