
Ahmad Zahid dan beberapa anggota Kabinet serta Ahli Parlimen Kerajaan MADANI meluangkan masa bergotong royong, rewang bersama penduduk Kampung Pachitan, Port Dickson, Negeri Sembilan untuk menyediakan juadah bagi program Kenduri Rakyat.
PORT DICKSON: Lebih 100 anggota kepimpinan Kerajaan Perpaduan yang terdiri daripada Menteri Kabinet dan Ahli Parlimen turun padang menyertai aktiviti gotong-royong bersempena dengan program Ukhuwah Kepimpinan Kerajaan MADANI di sekitar Port Dickson pagi tadi.
Program membabitkan anggota pentadbiran Kerajaan MADANI pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu ialah usaha membina jaringan ukhuwah antara pemimpin dengan rakyat dalam suasana santai, inklusif dan penuh nilai kebersamaan.
Program itu juga bertujuan menjadikan amalan pemimpin turun padang dan bersama rakyat sebagai satu budaya yang berterusan serta memberikan ruang kepada rakyat menyampaikan suara, keperluan dan pandangan secara langsung kepada pemimpin.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil bersama beberapa anggota Kabinet dan Ahli Parlimen Kerajaan MADANI meninjau tapak projek Program Sejahtera Komuniti MADANI di Kampung Sawah dekat sini pada 8.45 pagi.
Ahmad Zahid dan rombongannya kemudian mendengar taklimat daripada Ketua Kampung Sawah dan seterusnya meluangkan masa kira-kira 25 minit meninjau tapak projek itu.
Turut bersama dalam kumpulan berkenaan ialah Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmadl; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri; Menteri Perdagangan dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali serta Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri R Ramanan.
Dalam pada itu, kumpulan anggota Kabinet seterusnya disertai Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi; Menteri Sumber Manusia, Steven Sim dan beberapa menteri lain tiba pada 8.30 pagi di Jeti Nelayan Kampung Teluk Pelandok di sini bagi menyertai aktiviti mengecat jeti dan beramah mesra bersama penduduk setempat.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun yang turut hadir memberikan sokongan kepada program itu telah meluangkan masa hampir 30 minit bersama-sama pemimpin Kerajaan MADANI di jeti itu dan beramah mesra dengan penduduk setempat.
Saifuddin Nasution menyifatkan penyertaannya dalam program itu telah memberinya pengalaman unik bersama penduduk setempat serta memahami aktiviti setempat dan mengetahui potensi ekonomi di kawasan berkenaan.
“Program ini memberi kami peluang berinteraksi dengan komuniti setempat, kami dapat mengenal produk mereka seperti homestay (inap desa), apabila ada pendekatan begini kita tahu MADANI bukan hanya membangunkan negara, tetapi juga individu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Program itu merupakan sebahagian daripada pelbagai pengisian bagi program Ukhuwah MADANI dan Pemukiman Anggota Pentadbiran dan Ahli Parlimen Kerajaan MADANI di negeri ini.
Antara tarikan utama program terbabit ialah pengedaran 3,000 ekor ayam segar secara percuma kepada penduduk setempat, reruai jualan Rahmah dan aktiviti komuniti bersama penduduk kampung termasuk kenduri rakyat dan sesi ramah mesra.
Sementara itu, sebanyak 37 Ahli Parlimen tiba di Masjid Kem Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda) pada 8.50 pagi bagi aktiviti gotong-royong mengecat masjid disertai oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari dan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.
Dalam pada itu, Panglima Latihan dan Doktrin Tentera Darat Mej Jen Datuk Marzuki Mokhtar berkata pihaknya berterima kasih dengan kehadiran dan sumbangan menaik taraf masjid PUSASDA.
Katanya, masjid yang boleh menampung lebih 3,500 jemaah itu diharapkan dapat memberikan keselesaan kepada ahli kariah di sini.
Perdana Menteri dan anggota Kabinet dijadualkan menghadiri program Kenduri Rakyat di Dataran Kampung Pachitan, di sini tengah hari nanti, sebagai acara kemuncak program berkenaan. – BERNAMA