
KUALA LUMPUR: Lebih 10 juta warganegara daripada 16 juta yang layak telah menikmati subsidi bersasar petrol RON95 melalui inisiatif BUDI95 setakat 4.00 petang tadi, mencatat kadar penyertaan 62.5 peratus.
Kementerian Kewangan (MoF) dalam kenyataan hari ini memaklumkan jumlah itu melibatkan nilai jualan sebanyak RM727.7 juta atau penggunaan sebanyak 365.7 juta liter petrol pada harga subsidi RM1.99 seliter.
“Pelaksanaan subsidi bersasar petrol RON95 melalui inisiatif BUDI95 menunjukkan penerimaan memberangsangkan daripada rakyat selepas diperkenalkan pada 27 Sept 2025,” menurut kenyataan itu.
MoF turut memaklumkan sejak pelaksanaannya pada 27 Sept kepada anggota polis dan tentera, diikuti dengan penerima Sumbangan Tunai Rahmah sehari kemudian dan kepada seluruh rakyat Malaysia yang layak (30 September), transaksi BUDI95 menunjukkan peningkatan yang positif dan memuncak ketika hujung minggu, kepada lebih tiga juta transaksi sehari.
“Ini menunjukkan bahawa rakyat bersedia menerima pendekatan subsidi bersasar yang dilaksanakan secara telus, efisien dan memberikan manfaat nyata. Ia juga membuktikan keberkesanan sistem digital pengesahan MyKad di stesen minyak yang berjalan lancar serta stabil,” menurut kenyataan itu.
MoF menegaskan Kerajaan MADANI kekal komited memastikan subsidi bersasar ini terus dilaksanakan dengan lancar, telus dan memberikan manfaat langsung kepada rakyat dan pemantauan serta penambahbaikan akan dibuat dari semasa ke semasa bersama dengan agensi berkaitan.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut menerusi portal rasmi BUDI MADANI yang turut menyediakan ciri semakan rekod transaksi melalui MyDigital ID bagi menjamin keselamatan data peribadi pengguna ataupun menghubungi talian bantuan 1-300-88-9595 atau WhatsApp +603-2631 4595.
-BERNAMA