
DAVAO CITY,Filipina: Lebih 1.2 juta individu terjejas di seluruh Wilayah Davao di selatan Filipina susulan dua gempa bumi masing-masing bermagnitud 7.4 dan 6.8 yang menggegarkan Davao Oriental dan kawasan sekitarnya baru-baru ini, menurut kemas kini menyeluruh dikeluarkan oleh Jabatan Kebajikan dan Pembangunan Sosial Wilayah Davao (DSWD-11) hari ini, lapor Agensi Berita Filipina (PNA).
Setakat 19 Oktober, DSWD-11 melaporkan sejumlah 1,204,148 individu mewakili 275,649 keluarga di 452 barangay (kampung) merentasi 32 bandar dan majlis perbandaran terjejas akibat gegaran kuat itu.
Wilayah yang paling teruk terjejas termasuk Davao Oriental, Davao de Oro dan Davao del Norte, sekali gus mencetuskan mobilisasi segera bantuan kemanusiaan.
Penilaian kerosakan menunjukkan sebanyak 1,176 rumah musnah sepenuhnya manakala 22,839 lagi mengalami kerosakan separuh.
DSWD-11 memaklumkan bahawa 679 keluarga (2,260 orang) kini berlindung di pusat pemindahan, manakala 52 keluarga (192 orang) tinggal bersama saudara mara atau di penempatan sementara di luar pusat rasmi.
Walaupun bencana itu berskala besar, agensi berkenaan memberi jaminan bahawa sumber bantuan masih mencukupi, dengan sejumlah PHP116 juta dalam bentuk dana siap siaga dan barangan bantuan masih ada.
Setakat ini, DSWD-11 telah menyalurkan bantuan bernilai PHP72.6 juta kepada komuniti yang terjejas, menunjukkan komitmennya terhadap tindak balas pantas dan usaha pemulihan.
-Bernama