KUCHING: Sebuah syarikat perusahaan kayu dan perabot dari China telah menyatakan hasrat untuk melebarkan sayap perniagaan mereka di Tanjung Manis, Mukah.
Hasrat tersebut telah dinyatakan sendiri oleh Presiden Xuzhou Shenghe Wood Co ltd, Wang Fuhua kepada Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dalam mesyuarat atas talian yang diadakan pagi semalam.
Dalam mesyuarat tersebut, Wang menyatakan Tanjung Manis dipilih sebagai lokasi atas sebab berpotensi dalam aspek infrasktruktur sedia ada seperti jalan, elektrik, air dan juga pelabuhan.
Penglibatan syarikat tersebut di Sarawak akan membolehkan mereka terlibat secara aktif di dalam Projek Sarawak Furniture Park.
Dalam mesyuarat tersebut juga, Wang menyatakan minat untuk melabur di Sarawak setelah melihat potensi Sarawak sebagai salah satu lokasi strategik untuk pembukaan kilang mereka.
Datuk Amar Awang Tengah dalam mesyuarat tersebut turut menyatakan usaha Kerajaan Sarawak untuk menyediakan suasana pelaburan yang kondusif bagi mencapai sasaran export perabot sekitar RM6 bilion menjelang 2030.
Antara usaha Kerajaan Negeri, menurutnya adalah melalui usaha melestarikan bahan mentah melalui planted forest , bamboo plantation , memantapkan program Young Designers dengan kolaborasi pintar SayDsigner Sarawak dengan ITB Bandung, UNIMAS, Milan Designers serta mengadakan polisi yang membenarkan import spesies kayu yang tidak terdapat di Sarawak lagi.
Penglibatan syarikat tersebut di Sarawak akan menjadikan mereka di antara ‘Anchor Companies’ yang akan terlibat secara aktif dalam merealisakan projek ‘Furniture Parks’ di Kuching , Bintulu dan Tanjung Manis .
Datuk Amar Awang Tengah turut menjelaskan bahawa polisi Kerajaan Sarawak yang sentiasa prihatin dan membenarkan pengambilan pekerja asing dalam menyokong pelaburan produk nilai tambah seperti perabot.
Beliau turut menyarankan agar program melatih pekerja tempatan dapat dilaksanakan dengan menggunakan kemudahan pusat latihan perkayuan sedia ada di Tanjung Manis iaitu Tanjung Manis Timber Training Center yang digunakan untuk melatih individu dalam pembuatan perabot dan ukiran kayu serta kawalan mutu dan pemeringkatan kayu.
Turut bersama pada mesyuarat tersebut, Menteri Muda Pembangunan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan, Datuk Malcolm Mussen Lamoh, Pengurus Besar Sarawak Timber Industry Development Corporation (STIDC), Hashim Bojet, Pesuruhjaya Perdagangan (Trade Commissioner) Malaysian External Trade Development Corporation (MATRADE), Shanghai Syed Mohamad Fairus dan Setiausaha Tetap Kementerian Perdagangan Antarabangsa & Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datu Liaw Soon Eng.
Oleh NUR AIN OTSMAN